SUARA MERDEKA
Tiga lagi yang disahkan positif COVID-19 daripada
Kluster Penjara Reman semalam adalah banduan yang ditempatkan di dalam
sel sama dengan individu yang meninggal dunia akibat jangkitan itu pada 5
Okt lepas, kata Pengarah Penjara Reman Pulau Pinang Mohamed Jusoh
Ismail.
Katanya terdapat 26 banduan di dalam sel berkenaan yang
kemudian diasingkan dan dikuarantin sebaik sahaja kes COVID-19 itu
disahkan.
“Setakat semalam, 18 orang (termasuk si mati) disahkan
positif COVID-19 manakala lapan lagi yang tinggal di dalam sel sama
tidak menunjukkan gejala penyakit itu. Mereka masih dikuarantin dan
diasingkan daripada banduan lain,” katanya ketika dihubungi Bernama hari
ini.
Menurutnya beliau dimaklumkan kesemua 17 banduan itu yang kini dirawat di Hospital Pulau Pinang, berada dalam keadaan stabil.
Beliau juga berkata proses ujian saringan COVID-19
terhadap staf dan banduan di penjara itu yang dijalankan sejak 5 Okt
lepas dijangka selesai hari ini.
“Saya sedikit lega kerana tiada petugas yang positif COVID-19 dan saya juga harap tiada penularan di sel-sel lain,” katanya.
Beliau juga berkata keadaan di dalam penjara ketika ini baik dan terkawal.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham
Abdullah memaklumkan terdapat tiga lagi kes COVID-19 baharu direkodkan
membabitkan kluster Penjara Reman, menjadikan keseluruhan sebanyak 18
kes termasuk banduan yang meninggal dunia 5 Okt lepas.— BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan