Rabu, 21 Oktober 2020

Tiada insentif air kepada pengguna terjejas-Air Selangor

Oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
 
GANGGUAN air berjadual berlaku Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

SHAH ALAM: Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) tidak bercadang memberikan insentif air kepada pengguna terjejas susulan pencemaran Sungai Selangor, Ahad lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suhaimi Kamaralzaman berkata, pihaknya tidak akan mempertimbangkan cadangan itu kerana henti tugas empat Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Selangor bukan disebabkan kesalahan yang dibuat oleh Air Selangor.

“Gangguan bekalan air ini adalah disebabkan oleh tindakan jenayah oleh penjenayah alam sekitar dan jadi kita tak akan pertimbangkan,” katanya semasa sidang akhbar program agihan bantuan bekalan air kepada penduduk Rumah Pangsa Rimba Jaya, Seksyen 16, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Suhaimi berkata, sebanyak 715 kawasan yang sudah pulih manakala 577 kawasan pula masih lagi dalam proses pemulihan bekalan sehingga pukul 4.30 petang tadi. 

Menurutnya, pihaknya menjangkakan bekalan air akan pulih sepenuhnya dan disalurkan kepada 1.2 juta pemilik akaun Air Selangor di seluruh Lembah Klang, seawal Khamis ini pukul 8 pagi. 

“Setakat tahun ini, LRA Sungai Selangor Fasa 1,2,3 dan Rantau Panjang telah dihenti tugas sebanyak enam kali.

“Berhubung siasatan pihak yang mencemar Sungai Selangor kali ini, kita menyerahkan siasatan kes berkenaan kepada polis dan Jabatan Alam Sekitar (JAS). 

Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail berkata, pihak JAS telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) pembuangan bahan kimia ke dalam Sungai Selangor yang dibuat mana-mana kilang di Selangor. 

“Bagaimanapun, ada pihak mengabaikan SOP yang telah ditetapkan oleh JAS,” katanya. -UTUSAN

Tiada ulasan: