Umum saat akhir, dakwa seolah-olah tak bertimbang rasa terhadap pelajar
BANGI – Tanda pagar ‘Menteri KPT Sila Letak Jawatan’ menjadi trending di Twitter susulan tindakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mencadangkan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menangguhkan pendaftaran pelajar baharu dan lama bagi sesi Oktober ini.
Semalam KPT memaklumkan, keputusan itu perlu dibuat demi kesejahteraan dan keselamatan semua pihak, susulan peningkatan kes COVID-19 ketika ini.
Menurut KPT, semua urusan pendaftaran pelajar boleh dilakukan secara dalam talian, termasuk sesi pengajaran dan pembelajaran, sehingga ada pengumuman mengenainya dilakukan.
Bagaimanapun rata-rata netizen kesal apabila saranan itu diumumkan pada saat akhir yang didakwa menyusahkan pelajar dan keluarga mereka khususnya yang melakukan penerbangan dari Sabah dan Sarawak.
“Sungguh menyedihkan apabila kerajaan tidak melakukan apa-apa sehingga rakyat harus menangani perkara ini sendiri.
“Terima kasih untuk mereka yang menghulurkan bantuan. #SiswaJagaSiswa # MenteriKPTsilaletakjawatan,” demikian kata Muhdluqman.
Sementara PaigeOffficial mendakwa menteri pendidikan sekarang ini tidak bertimbang rasa terhadap pelajar.
“Mereka mesti membayar ganti rugi pelajar tidak kira atas alasan apa sekalipun, pelajar tidak kaya. Sudah tiba masanya KPT kita sekarang berundur. #MenteriKPTsilaletakjawatan,” tegasnya.
Pengguna Twitter dikenali sebagai Eresbella turut menggesa Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad meletakkan jawatan atas alasan tidak pernah mempertimbangkan hak mahasiswa.
“Anda tidak pernah memberi manfaat kepada kami, anda hanya menyusahkan kami, #MenteriKPTsilaletakjawatan,” tulisnya.
Aynaally pula menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Noraini meletakkan jawatan susulan daripada kecaman yang diterima.
“Daripada awal lagi beliau gagal menangani isu membabitkan KPT. Beliau boleh letak jawatan dan terus bermain Tik Tok,” katanya.
Bagaimanapun, hari ini, Datuk Noraini dalam satu kenyataan di Facebook memohon maaf atas kesulitan yang berlaku kepada para pelajar.
Katanya, beliau mengambil maklum rintihan dan keluhan pelajar serta ahli keluarga mereka susulan keputusan pihak IPT menangguhkan pendaftaran fizikal.
“Saya berharap pihak IPT dapat bersikap wajar, bertimbang rasa dan munasabah dalam menguruskan segala hal yang berbangkit berhubung penangguhan ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan