PETALING JAYA: Kerajaan hari ini bersetuju memperkenalkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) baru yang lebih ketat susulan pelaksanaan perintah kawalan rentas daerah di Sabah.
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, antara SOP yang dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin hari ini, termasuk meluluskan cadangan kerajaan Sabah untuk mengehadkan waktu operasi premis makanan dan kedai serbaneka dari 6 pagi sehingga 8 malam.
Premis terbabit sebelum ini dibenar beroperasi sehingga jam 2 pagi.
“Bagi pasar pagi dibenar beroperasi dari 6 pagi sehingga 2 petang; pasar malam, pasar tani, dibenar beroperasi, berdasarkan SOP sedia ada,” katanya pada sidang media berhubung perkembangan pelaksanaan PKP bagi membendung Covid-19 hari ini.
Katanya, waktu operasi stesen minyak juga dihadkan dari jam 6 pagi hingga 8 malam.
Beliau berkata, perkhidmatan teksi dan e-hailing dibenar beroperasi bermula jam 6 pagi sehingga 8 malam.
“Khidmat penghantaran makanan dibenarkan bermula dari 6.00 pagi sehingga 8.00 malam,”katanya.
Kerajaan mengumumkan sekatan perjalanan rentas daerah di seluruh Sabah berkuat kuasa 3 sehingga 16 Oktober depan, termasuk pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan bersasar (PKPDB) di 4 daerah, iaitu Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna.
Tambah aset keselamatan, anggota di timur Sabah
Dalam perkembangan sama di Sabah, Ismail berkata, kerajaan bersetuju menambah aset dan anggota keselamatan bagi memperkasakan kawalan di Pantai Timur Sabah melalui Operasi Benteng untuk menghalang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), sekali gus mengekang penularan wabak Covid-19.
Katanya, PATI yang ditahan dalam Ops Benteng sama ada berdokumen atau tidak,wajib dikuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan.
“Keputusan ini dibuat memandangkan kebanyakan kes positif Covid- 19 di Sabah adalah berpunca daripada kes import dari negara jiran,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan