Jumaat, 23 Oktober 2020

Sahut cabaran baru

Suliati Asri
ANTARA kemahiran yang harus dikuasai generasi muda.
ANTARA kemahiran yang harus dikuasai generasi muda.

DULU, kemahiran teknikal dan vokasional dilihat kurang diberi perhatian dan menarik dijadikan sebagai jalur kerjaya pilihan.

Subjek Kemahiran Hidup meliputi kemahiran asas seperti kerja elektrik, bertukang dan berkebun pula sekadar mengisi kurikulum sekolah menengah tanpa nilai pendidikan yang tinggi.

Namun, kini di era 2020, bidang kemahiran dilihat antara peluang kerjaya yang menawarkan pendapatan lumayan.

Kerjaya teknikal dan vokasional itu juga adalah selaras dengan keperluan Industri 4.0 yang menjanjikan perkembangan karier tanpa had bersama sumber rezeki yang meluas berbanding jalur karier lain.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Bahasa Universiti Teknologi Mara Dr Airil Haimi Mohd Adnan berkata, zaman milenium ini adalah zaman kemahiran dan bidang kemahiran adalah yang paling kritikal.

Ini kerana, katanya kemahiran ia sebelum ini dilihat tidak begitu penting dan hanya dikuasai mereka yang tidak berapa cerdik di sekolah.

"Pendidikan vokasional 20 hingga 30 tahun lalu misalnya, menjadi pilihan terakhir pendidikan formal untuk pelajar sekolah menengah yang kononnya sudah 'tiada harapan' jika menyambung pengajian Tingkatan 4 di sekolah biasa.

"Hakikatnya, untuk tahun 2020 dan ke depan, mereka yang menguasai kemahiran hidup seperti ini bukan sekadar boleh menguasai ekonomi tetapi juga dapat hidup mewah dengan pendapatan yang diperoleh," katanya.

MAHASISWA perlu kuasai bidang yang selari dengan Industri 4.0.
MAHASISWA perlu kuasai bidang yang selari dengan Industri 
4.0.

Kemajuan sains dan teknologi yang dirasai masyarakat kini sememangnya memberikan kehidupan yang selesa. Namun, peranti atau gajet yang memudahkan kehidupan kita boleh rosak bila-bila masa.

Pada masa yang sama, rumah yang didiami perlu sistem pendawaian elektrik yang cekap, sistem paip yang tidak tersekat atau selalu bocor, malah 1001 hal kecil di dalam sesebuah rumah perlu dipantau dan dijaga serta dibaiki apabila kerosakan berlaku.

"Secara peribadi, saya sendiri merasakan kerugian kerana saya tidak tahu cara membaiki paip di dalam rumah atau untuk membetulkan pendawaian elektrik yang rosak.

"Mereka yang mempunyai kemahiran seperti ini pada saya, patut digelar pakar dan mereka ayak menuntut upah yang setimpal dengan kepakaran mereka. Begitu juga dengan pakar automotif yang boleh memperbaiki enjin kereta, menukar tayar kenderaan dan lain-lain kemahiran lagi.

"Lebih hebat lagi, mereka tidak memerlukan pendidikan yang tinggi kerana kemahiran mereka berbentuk praktikal dan boleh dipelajari dengan motivasi diri sejajar dengan masa dan keadaan," katanya.

KEMAHIRAN kritikal punya peluang pekerjaan yang luas.
KEMAHIRAN kritikal punya peluang pekerjaan yang luas.

Selain pilihan untuk belajar kemahiran teknikal dan vokasional, orang muda hari ini juga perlu menguasai kemahiran digital atau 'digital literacy.'

Ini kerana, kemahiran digital kini sememangnya sangat diperlukan dalam zaman digital.

Generasi Z dan Generasi Alpha yang lahir pada tahun 2020 bukan saja perlu belajar kemahiran digital tetapi juga menguasai dan menjadi pakar digital.

Di institut pengajian tinggi misalnya, dulu, pelajar mengeluh jika pensyarah meminta mereka untuk merekod video pendek atau membuat persembahan secara atas talian.

Kini,kata Dr Airil dengan pandemik Covid-19 dunia sebenar banyak berpindah ke dunia maya.

"Kemahiran digital seperti manipulasi video, striming secara langsung, mereka cipta video animasi dan banyak lagi menjadi kemahiran yang amat perlu untuk dikuasai.

"Yang pasti, dalam dunia pasca-2020 sempadan atas kumpulan 'junior' dan 'senior' akan menipis. Siapa yang ada kemahiran digital, siapa yang pandai dalam bidang teknikal dan vokasional, dialah yang akan terkedepan," katanya.

Mahu tidak mahu, masyarakat kini harus menyedari perubahan yang sedang berlaku supaya tidak ketinggalan di belakang.

Menjadi pakar bidang digital misalnya bukan hanya bererti kita akan bersedia untuk karier masa depan tetapi bidang ini juga boleh menjadi sumber pendapatan yang lumayan.

Dunia pasca-2020 juga memperlihatkan lebih banyak perubahan yang drastik hasil dari gangguan atau 'disruption' Industri 4.0.

Kata Dr Airil, perubahan dan gangguan itu perlu kesediaan golongan muda khasnya agar mereka dapat menangani segala macam dilema, konflik dan masalah yang timbul kelak.

"Futuris atau pemikir masa depan, Gerd Leonhard berkata, dalam jangka masa 30 tahun ke depan perubahan besar akan berlaku yang menyamai atau melangkaui perubahan dunia yang direkod sepanjang 200 tahun ke belakang.

"Berpegang kepada kata-kata itu, kita kini sudah boleh lihat beberapa pekerjaan yang hilang dek teknologi. Di restoran makanan segera misalnya, tidak ada lagi staf barisan depan yang mengambiil pesanan pelanggan. Semuanya dilakukan di mesin layan diri termasuk juga urusan pembayaran.

"Pilihan kerja dunia lama akan semakin sedikit dan digantik pilihan kerjaya dunia baharu pasca-2020. Selain kerjaya Industri 4.0 membabitkan data raya, Internet dan lain-lain, kerjaya teknikal dan vokasional berkemahiran tinggi dan semua jenis kerjaya yang memerlukan kemahiran digital akan bertambah dengan mendadak. Tunggu dan lihat sahaja nanti," katanya.

Dengan perubahan dan keperluan dalam dunia pasca-200 ini, Dr Airil berharap golongan muda di negara ini sentiasa cuba membuka minda dan menambah kemahiran kritikal di dada.

"Golongan muda juga kini perlu bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dalam dunia hari ini yang begitu banyak gangguan dan perubahan mendadak," katanya.

Tiada ulasan: