Jumaat, 16 Oktober 2020

Polis keluarkan gambar lelaki larikan diri dari SPRM

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Polis hari ini mengeluarkan gambar seorang suspek perjudian dan pengubahan wang haram yang dikehendaki selepas melarikan diri dari ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

Polis mengenal pasti individu berkenaan sebagai Goh Leong Yeong, berusia 32 tahun dengan alamat terakhir di Kondominium Miharja di Kuala Lumpur.

Beberapa media melaporkan lelaki berkenaan berpangkat "datuk seri", namun semakan mendapati dia tiada dalam senarai mereka yang dianugerahkan gelaran berkenaan.

Goh merupakan antara sepuluh individu yang ditahan SPRM pada 7 Okt lalu kerana terlibat dalam sindiket perjudian dalam talian dan penipuan Macau Scam.

Kes ini mendapat perhatian meluas apabila lapan daripada 10 individu yang ditahan merupakan pegawai polis, dan yang paling kanan merupakan seorang penolong pesuruhjaya.

SPRM juga telah merampas wang tunai sebanyak RM100,000 dan 24 kereta mewah.

Pada 11 Okt, SPRM membebaskan para suspek dengan jaminan dan beberapa orang daripada mereka, termasuk Goh diserahkan kepada polis untuk siasatan berasingan.

Polis menyiasat penglibatan anggota mereka sendiri dalam sindiket jenayah tersebut.

Bagaimanapun Goh melarikan diri daripada pihak polis yang menunggunya di hadapan bangunan SPRM.

Dia dilaporkan berjaya melepasi tembok di belakang bangunan SPRM. 

Berita ini kemudian dijadikan sebagai bahan lawak jenaka di media sosial.

Warga maya mempersoalkan bagaimana Goh dapat melepasi tembok yang tinggi di bangunan SPRM.

Beberapa individu mencipta gambar yang menunjukkan suspek 'melarikan diri' dengan pelbagai cara termasuk terbang di atas tembok berkenaan.

Polis telah menahan dua anggota mereka untuk membantu siasatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Huzir Mohamed, dalam satu kenyataan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lokasi Goh untuk menghubungi pihak berkuasa.

Mereka boleh menghubungi ketua Jabatan Siasatan Jenayah Cheras, Ahmad Zamri Jai di talian 012-8993622 atau pegawai penyiasat Muhamad Faizal Asuar di talian 017-3126411.

Tiada ulasan: