Rabu, 21 Oktober 2020

PKPB: Kerajaan arah bekerja dari rumah mulai Khamis ini

Shawaliah Hadir
MGF25082020_PUNB-2-681x453
Gambar Hiasan. foto MOHD ADZLAN,

KUALA LUMPUR – Kerajaan mewajibkan pekerja sektor awam dan swasta dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk bekerja dari rumah (Work From Home) bermula Khamis ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan yang diambil Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu dijangka melibatkan hampir sejuta orang pekerja di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Pelaksanaan arahan ini akan berkuatkuasa bermula 22 Oktober 2020 sehingga pelaksanaan PKPB di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah tamat,” katanya pada sidang media hari ini.

Jelas beliau, keputusan itu dibuat ekoran masih berlaku peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan-kawasan berkenaan terutama Selangor dan Sabah yang melibatkan kluster pekerja, justeru terdapat keperluan bagi memperketatkan kawalan aktiviti pergerakan keluar masuk.

“MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) juga memaklumkan bahawa hampir 800,000 pekerja sektor industri dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah akan terlibat dengan arahan ini.

“Arahan ini juga akan melibatkan seramai hampir 200,000 penjawat awam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah,” tambahnya.

Bagaimanapun, ujarnya, terdapat pengecualian bagi proses kerja yang memerlukan keberadaan di pejabat seperti bahagian yang terlibat dalam urusan kewangan yang membuat bayaran, pengurusan, penguatkuasaan dan kebajikan.

Justeru kata Ismail Sabri, majikan diarah untuk mengeluarkan surat pelepasan perjalanan bagi setiap kakitangan yang terpaksa bekerja di pejabat sepanjang tempoh ini.

Bagi pekerja yang tinggal di kawasan zon merah pula perlu melakukan swab test.

Jika pihak majikan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kos akan ditanggung pertubuhan itu.-MalaysiaGazette

Tiada ulasan: