Khamis, 22 Oktober 2020

‘Pelan Digital Perlis 2025’, Jadi Jambatan Penghubung Kerajaan, Rakyat Dan Swasta

UMNO ONLINE

KANGAR– Kerajaan negeri Perlis yang tidak mahu ketinggalan dalam arus pembangunan digital mutakhir, mengambil inisiatif memperkenalkan pelan Digital Perlis 2025, sebagai langkah awal menghubungkan kerajaan, rakyat dan swasta menerusi platform digital.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Azman Mohd Yusof berkata, pelan tersebut adalah cetusan cadangan pada pembentangan belanjawan negeri tahun lepas, bagi menambah baik perkhidmatan kerajaan negeri dengan meneroka bidang baharu iaitu teknologi digital.

“Tiga fokus utama pelan Digital Perlis 2025 adalah membabitkan tiga eleman utama iaitu kerajaan, rakyat dan pihak swasta, yang bersifat lebih holistik di mana pelan ini bersifat menyeluruh dan tidak hanya memberi tumpuan kepada satu pihak sahaja,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Azman berkata pelan yang akan dilancarkan secara rasmi pada Nov nanti itu mempunyai tujuh kluster tumpuan iaitu kluster kerajaan, keselamatan, infrastruktur, masyarakat, ekonomi, pelancongan dan pertanian dengan kluster keselamatan antara kluster terpenting dalam pelan tersebut.

“Keselamatan digital penting apabila semua urusan dilakukan secara digital, sama ada ia membabitkan orang ramai, kerajaan mahupun pihak swasta, langkah awal memperkasakan elemen ini penting dalam memastikan tidak berlaku ancaman siber dari pihak luar,” katanya.

Selain itu Azman berkata, oleh kerana Perlis adalah sebuah negeri berasaskan pertanian, kerajaan negeri ingin melihat berlaku perubahan dalam sektor ini pada masa akan datang, apabila aplikasi digital digunakan dalam mengawal hasil pertanian seperti penggunaan dron dalam mengumpul data pengurusan kawalan air di tanah pertanian.

Beliau berkata pelan ini dibina secara khusus untuk negeri Perlis, mengikut acuan sendiri berdasarkan pelan induk pelan tindakan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang akan menjadi platform penambahbaikan komunikasi digital negara, di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (2021–2025).

“Kita perlu bina pelan sendiri kerana keadaan di Perlis berbeza dengan negeri lain, sebagai contoh infrastruktur jalur lebar di Lembah Klang adalah lebih maju daripada di sini,” katanya.

Katanya untuk langkah awal dalam pelan jangka pendek selama lima tahun pelan Digital Perlis 2025, kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada program ‘pembudayaan digital’ iaitu memberi kefahaman terhadap masyarakat tentang budaya digital, dengan mewujudkan platform Kerajaan Digital dalam usaha ke arah kerajaan pintar menerusi pelan jangka sederhana dan panjang.

Azman berkata antara inisiatif yang telah dibuat oleh kerajaan negeri ketika ini adalah seperti promosi ‘Cashless Perlis’ iaitu kaedah pembayaran tanpa tunai, pengembaraan maya di Perlis Digital Geopark, Masjid Digital dan banyak lagi.

Sementara itu, seorang pesara kerajaan, Maimunah Ismail, 64 berkata teknologi digital merupakan satu keperluan hari ini apabila hampir semua urusan harian seperti membayar bil utiliti, membeli barang dan transaksi bank dilakukan secara atas talian.

“Pada mulanya agak kekok juga bayar bil utiliti secara atas talian, namun disebabkan malas beratur panjang di kaunter menyebabkan saya belajar guna telefon bimbit untuk bayar bil daripada anak saudara,” kata bekas guru itu yang menyambut baik usaha kerajaan negeri itu.

Turut berkongsi pendapat Nur Ris’lah Muzaim, 23, yang menyatakan bagi beliau teknologi digital ada baik dan buruknya kerana bukan semua golongan masyakat bersedia untuk menjadikannya sebagai budaya hidup.

“Namun ia mungkin menjadi satu beban bagi warga emas, kerana mereka tidak mempunyai ‘akses’ untuk melakukannya dan lebih selesa dengan sistem lama,” katanya. – BERNAMA

Tiada ulasan: