Apakah rencana politik lebih penting pada ketika ini
BANGI – Perihal ‘perut rakyat’ didakwa semakin kurang dibicarakan dalam kalangan menteri sejak kebelakangan ini.
Mungkin kerana suhu politik negara yang semakin panas menenggelamkan isu berkenaan, pada ketika para Yang Berhormat mula berconggak-conggak memikirkan tentang masa depan mereka.
Kecewa dengan situasi tersebut, Ketua Angkatan Pemuda-Pemudi Berjasa (ANGKASA), Hazwan Mohamad mempersoalkan, apakah agenda politik lebih menjadi keutamaan pada ketika ini.
“Rencana rakyat? Perut rakyat terisi atau tidak? Jaminan bekalan makanan? Harga barang keperluan yang semakin membebankan? Masa hadapan anak muda terutama lepasan universiti? Peluang pekerjaan dengan gaji setimpal?
“Bagaimana dengan kekuatan ekonomi Industri Kecil & Sederhana? Isu ancaman kedaulatan tanah air? Semakin kurang kedengaran dari mulut Pak Menteri.
“Apakah rencana politik lebih penting dari rencana untuk rakyat?,” soalnya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Hazwan menyifatkan, tindakan penguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar (PKPB) dengan syarat tertentu di daerah Klang dalam mengawal COVID-19 sebagai bercelaru.
Katanya, alasan penguatkuasaan itu mungkin kelihatan ‘suci’ demi misi menyelamatkan negara, namun tiada siapa tahu akibat daripada pelaksanaannya.
Beliau tidak menolak kemungkinan ahli politik bergaji puluhan ribu sekurang-kurangnya bagi tempoh lima tahun sedang merancang sesuatu.
“Kes baharu COVID-19 semakin bertambah. Sabah dan Kedah mendahului carta. Ramai yang cuba menenangkan keadaan dengan menyatakan bahawa kes-kes berlaku di sebalik tembok penjara.
“Namun, jika kita lihat kes kumulatif seminggu dari 4 Oktober sehingga 10 Oktober di negeri termaju dan terkaya, Selangor Darul Ehsan, telah mencatatkan 228 kes kesemuanya melibatkan warga tempatan,” katanya.
Rabu lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, kerajaan mengenakan PKPB di zon merah iaitu Sandakan, Papar, Tuaran di Sabah dan Klang di Selangor, bermula 9 Oktober susulan peningkatan kes COVID-19 di kawasan berkenaan.
Ismail Sabri dilaporkan berkata,
pelaksanaan PKPB adalah bagi membendung penularan COVID-19 di kawasan
terbabit, selain bagi membolehkan aktiviti pengesanan kes secara
bersasar dilaksana sepanjang tempoh 14 hari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan