Khamis, 15 Oktober 2020

LTTE: Surat tu pendapat je, bukan arahan – Dr M


KUALA LUMPUR- Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memperjelaskan status kandungan suratnya kepada Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung LTTE juga dikenali sebagai Liberation Tamil Tiger Eelam atau gerakan Pembebasan Tamil Tiger Eelam.

Katanya, beliau mencadangkan supaya Tamil Tigers tidak lagi dilabel sebagai terrorists kerana Kerajaan Sri Lanka sendiri, di mana pertembungan mereka dengan Tamil Tigers berlaku, tidak lagi melabel kumpulan dan pengikutnya sebagai terrorists.

“Saya tidak tahu apa tujuan surat bertarikh 12 Februari 2020 yang saya tulis kepada Menteri Dalam Negeri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan saya masih Perdana Menteri Malaysia, dikeluarkan untuk tatapan umum melainkan untuk memperlihatkan seolah-olah saya penyokong LTTE.

“Jika label terrorists diguna terhadap Tamil Tigers, maka mereka tidak boleh ikat jamin sementara menunggu perbicaraan,” kata Dr Mahathir dalam blognya, chedet, hari ini.

Ahli Parlimen Langkawi itu memberitahu, berkenaan dengan penyokong LTTE, beliau dimaklumkan oleh Peguam Negara bahawa tidak ada bukti kukuh untuk mendakwa mereka di bawah undang-undang terrorist yang tidak boleh diikat jamin semasa menunggu perbicaraan.

“Saya memberi pendapat saya kepada Menteri yang bertanggung jawab berkenaan perkara ini. Pendapat saya bukan suatu arahan,” jelasnya.

“ Bagi saya, jika Kerajaan dan Peguam Negara pada hari ini merasa terdapat bukti yang kukuh untuk mendakwa mereka, seharusnya mereka memulakan proses perundangan yang sewajarnya.

“Saya berharap tidak berlaku kezaliman apabila menegakkan keadilan dan melaksanakan undang-undang,” ujarnya.

Dr Mahathir menegaskan, langkah ini konsisten dengan pendirian sebelum pilihanraya 2018 bahawa Pakatan Harapan (PH) menentang penggunaan beberapa peruntukan undang-undang yang telah disalah guna oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menahan mereka yang menentang pencurian yang mereka lakukan menerusi 1MDB dan juga salah guna kuasa
 
 “Mereka yang menentang ini telah ditahan tanpa dibicarakan dan tidak dibenar ikat jamin, hal ini satu “travesty of justice” ataupun satu ketidakadilan yang melampau.

“Kerana itu saya membuat cadangan di atas kepada Tan Sri Muhyiddin ketika itu,” jelasnya.

Dalam pada itu, menurutnya, berkaitan dengan Hamas, beliau gunakannya sebagai contoh di mana umum tahu masyarakat dunia memang melabel Hamas sebagai kumpulan terrorist.

“ Tetapi kita tidak pernah bersetuju dengan dakwaan ini. Semua tahu bagaimana kita telah beri bantuan kepada Hamas di Gaza.

“ Kita juga telah terima lawatan pemimpin tertinggi Hamas, Ismail Haniyeh pada 22 Januari 2020. Saya sendiri telah mengadakan perbincangan dengan pemimpin Hamas ini,” katanya.
 
 Sebelum ini, sebuah portal melaporkan surat bertarikh 12 Februari 2020 dipercayai ditulis Dr Mahathir ditujukan kepada Kementerian Dalam Negeri agar mengeluarkan LTTE dari senarai kumpulan pengganas.

Namun pada 11 Ogos, menjawab pertanyaan Leong Jee Keen (PH-Selayang) di Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, KDN masih mengklasifikasikan LLTE sebagai pengganas.

Isu LTTE menjadi tumpuan ramai apabila 12 individu termasuk dua ADUN diheret ke mahkamah atas tuduhan memberi sokongan dan memiliki item berkaitan kumpulan itu.

Bagaimanapun kesemua yang terlibat dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas pihak pendakwaan tidak berhasrat meneruskan prosiding. – SuaraTV

Tiada ulasan: