MALAYAIAKINI
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyeru lebih ramai rakyat negara ini tampil menyertai pasukan bantuan kesihatan dan perubatan Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata rayuan itu dibuat berikutan situasi semasa yang memerlukan lebih ramai sukarelawan membantu petugas mengekang wabak Covid-19.
Menurut Noor Hisham, seperti semua sedia maklum sebelum ini KKM menggerakkan pasukan bantuan ke Tawau, Lahad Datu, Semporna, dan Kota Kinabalu di Sabah bagi membantu menangani penularan Covid-19 di negeri itu.
Katanya mobilisasi pasukan bantuan secara dalam negeri di Sabah juga dilakukan KKM sejak awal peningkatan bilangan kes Covid-19 dan sehingga 8 Okt lalu, seramai 249 anggota perubatan dan 48 orang anggota kesihatan awam digerakkan.
"Sehingga tarikh yang sama juga, sejumlah 130 orang anggota perubatan dan 48 orang anggota kesihatan awam digerakkan dari negeri-negeri lain ke Sabah.
"Ini menjadikan secara keseluruhan setakat ini 475 orang anggota pelbagai kategori dan skim perkhidmatan yang digerakkan ke Tawau, Lahad Datu, Semporna, dan Kota Kinabalu.
"Penilaian keperluan sumber manusia akan terus dilakukan secara berterusan bagi membantu mengawal situasi penularan jangkitan Covid-19 di negeri Sabah, di samping memastikan kelangsungan perkhidmatan kesihatan di sana.
"Oleh itu, KKM ingin menyeru sekali lagi penglibatan lebih banyak sukarelawan perubatan dan kesihatan untuk membantu KKM dalam menangani gelombang ketiga Covid-19," kata Noor Hisham menerusi siaran langsung di Facebook hari ini.
Menurut Noor Hisham lagi penyelarasan akan dijalankan Pusat Pusat Kesediaan dan Tindak Balas Krisis Kebangsaan.
KKM hari ini memaklumkan terdapat 374 kes baru Covid-19 yang dilaporkan setakat tengah hari tadi dan tiga lagi meninggal dunia.
Sabah kekal sebagai negeri dengan kes baru tertinggi dengan 277 kes.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan