Jumaat, 23 Oktober 2020

Elak penduduk Selangor terus merana

Oleh Mohd Nizam Mohamad Yatim (*)_

  KRISIS air di Selangor pada 4 Oktober lalu menjejaskan penduduk di 274 kawasan di Kuala Langat, Hulu Langat, Sepang dan Petaling. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

SAUDARA PENGARANG,

KRISIS air di Selangor kembali berulang apabila pada 4 Oktober lalu, Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sepenuhnya berikutan insiden pencemaran di Sungai Semenyih. Pada 19 Oktober pula, pencemaran bau di Sungai Selangor mengakibatkan kira-kira lima juta pengguna terpaksa berhadapan gangguan bekalan air.

Kejadian ini boleh disifatkan sebagai kegagalan kerajaan Selangor menangani masalah gangguan bekalan air dengan berkesan.

Untuk mengatasi masalah ini, dicadangkan diwujud sumber air sokongan seperti tangki tadahan air hujan di kawasan perumahan yang dibiayai oleh kerajaan negeri. Ini bagi memastikan gangguan bekalan air paip utama tidak memberikan kesan yang teruk kepada pengguna.

Kerajaan Selangor juga perlu melihat  masalah ini sebagai isu pencemaran yang serius dan bukannya masalah gangguan bekalan air biasa. Tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang melakukan pencemaran.

Tumpuan kerajaan negeri adalah memantau pihak yang mungkin mencemarkan sumber air. Oleh itu, sikap suka menuding jari kepada Kerajaan Persekutuan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak harus berlaku kerana ia hanya membazir masa dan tidak menyelesaikan masalah utama.

Pemantauan tidak cukup hanya dilakukan oleh JAS dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sebaliknya harus melibatkan sama pihak berkuasa tempatan (PBT) yang memberikan kelulusan pembangunan berhampiran sungai.

* V. SELVAM- Selangor

Tiada ulasan: