Jumaat, 16 Oktober 2020

DUN P.Pinang kecoh, ADUN Pantai Jerejak masih tidak kelihatan .

Bernama
MGF15072020_SIDANG-DEWAN-RAKYAT22-681x454
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bharu yang juga ADUN Pantai Jerejak, Datuk Seri 
Saifuddin Nasution Ismail.

GEORGE TOWN – Sesi persidangan Dewan Undangan (DUN) Negeri Pulau Pinang hari ini kecoh hampir 10 minit dengan pertikaman lidah beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berhubung isu ketidakhadiran ADUN Pantai Jerejak.

ADUN Zulkifli Ibrahim (Bersatu-Sungai Acheh) telah bangun bertanya kepada Speaker Datuk Law Choo Kiang ke mana ADUN Pantai Jerejak, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sebelum DUN beralih kepada sesi penggulungan.

Persoalan itu telah menyebabkan ADUN Dr Afif Bahardin (Bersatu-Seberang Jaya) bangun dan membacakan Peraturan Dewan yang mewajibkan semua ADUN kalau tidak dapat hadir harus memaklumkan kepada setiausaha DUN dengan kadar segera.

“Saya telah perhatikan, kerusi Pantai Jerejak ini telah kosong sejak hari pertama persidangan. Sebelum ini ada usul nak kosongkan kerusi…sekarang ini, ada kerusi tapi tiada wakil rakyat. Apa yang berlaku ini? Ini tindakan yang tidak menghormati Dewan,” katanya.

Afif menyifatkan ADUN Pantai Jerejak seperti menerima gaji buta dengan tidak hadir ke DUN selepas mendapat mandat rakyat.

Tindakan itu telah menyebabkan sesi pertikaman lidah antara beberapa ADUN Pakatan Harapan yang bangun membantah dan meminta Afif untuk menarik balik perkataan ‘gaji buta’.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Jagdeep Singh Deo turut menjerit supaya semua duduk dan jangan bazir masa kerana sesi penggulungannya tidak dapat bermula akibat kekecohan itu.

Law terpaksa campur tangan dan meminta semua ADUN bertenang dan duduk.

Terangnya, walaupun beliau tidak dimaklum ke mana ADUN Pantai Jerejak tetapi secara umumnya beliau mungkin akan hadir kemudian.

Saifuddin merupakan setiausaha-agung PKR dan juga Anggota Parliamen Kulim Bandar Bahru.- BERNAMA

Tiada ulasan: