SUARA MERDEKA
TINDAKAN seorang doktor pakar di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan identiti pesakit kepada umum dengan merujuk kepada individu ternama di Sabah yang dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) di Kota Kinabalu, Sabah, adalah menyalahi tataetika seorang doktor perubatan.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kerahsiaan pesakit menjadi keutamaan bagi profesion perubatan dan KKM sentiasa menekankan perkara itu.
“Saya harapkan ini bukanlah satu kebiasaan yang Dr (doktor) amalkan kerana KKM sememangnya bergantung kepada Pegawai Perubatan Pakar untuk mendidik Pegawai Perubatan dan Pegawai Perubatan Siswazah.
“Dr juga agak arif dengan selok belok di HQE, namun kemungkinan perlu menyemak kembali protokol pengendalian Pesakit Bawah Siasatan (PUI) yang disahkan COVID-19 ke hospital COVID-19,” katanya dalam kolum Tinta Minda di laman sesawang www.bernama.com.
Beliau berkata demikian mengulas warkah Dr Tachdjian kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, ‘Cukuplah abah, anak-anak derita’ yang mendedahkan Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor positif COVID-19 dan dirawat di HQE serta situasi semasa di hospital berkenaan termasuk petugas kesihatan yang dikuarantin kerana dijangkiti pandemik tersebut.
Dr Noor Hisham berkata kes disahkan status jangkitan positif COVID-19 dan didapati stabil akan dimasukkan terus ke wad COVID-19, dan protokol yang sama digunakan untuk semua kes tanpa mengira status kes dalam masyarakat.
Beliau berkata terdapat kemungkinan berlaku situasi kes perlu menunggu katil dikosongkan di wad COVID-19 yang berlaku dari semasa ke semasa.
Mengulas mengenai peningkatan kes COVID-19 di Sabah, Dr Noor Hisham berkata data kes harian yang dibentangkan setiap hari serta mesyuarat harian bersama perdana menteri dan Sidang Media COVID-19 kini dilakukan secara ‘sidang video’.
“Saya telah menerangkan tindakan kerajaan bagi memastikan kapasiti ujian di makmal-makmal, peningkatan jumlah katil bagi kes COVID-19 mencukupi, pembelian peralatan dan pengagihan alat bantuan pernafasan.
Pada awalnya, petugas di Kota Kinabalu digerakkan untuk membantu hospital di daerah timur Sabah serta pusat-pusat kuarantin dan rawatan COVID-19 berisiko rendah. KKM turut menggerakkan petugas kesihatan daripada negeri-negeri ke Sabah dan ditempatkan di hospital-hospital di Kota Kinabalu bagi menggantikan lompong keperluan petugas di Kota Kinabalu,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata situasi lebih mencabar apabila petugas kesihatan juga dijangkiti COVID-19 daripada komuniti, tempat kerja, rakan setugas atau semasa pengendalian kes itu.
“Mereka perlu dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan kontak rapat perlu dikuarantinkan. Namun, pujian harus diberi kepada pihak pengurusan HQE dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.
“Pelan mobilisasi diteruskan, perkhidmatan berjalan dan situasi dijangka bertambah baik. Petugas kesihatan terus cekal bertugas sementara lebih ramai pasukan bantuan perubatan tiba,” katanya.
Menurut Dr Noor Hisham, kementerian akan memastikan kelengkapan perlindungan diri (PPE) mencukupi di semua hospital seluruh Malaysia termasuk di HQE.
Katanya, kelulusan pusat diterima pada 2 Okt bagi permohonan perolehan secara darurat untuk PPE di Sabah, manakala sistem pangkalan data pusat dibangunkan semasa gelombang satu dan dua COVID-19 membantu kementerian lebih bersedia.
Dr Noor Hisham berkata semua pihak hendaklah bersatu hati melandaikan keluk semasa gelombang kedua COVID-19 serta fokuskan terhadap tenaga dan usaha bagi menentang musuh tersebut sambil berdoa dan bertawakal.-BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan