SUARA MERDEKA
KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, pagi tadi.
Wartawan Suara Merdeka, MOHAMAD ATHIR ISMAIL tiba di pekarangan pintu masuk utama Istana Negara kira-kira pukul 9.15 pagi tadi.
Ketika dalam perjalanan ke Istana Negara, wartawan menghubungi Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil bagi mengulas pertemuan Presidennya dengan Yang di-Pertuan Agong.
Bagaimanapun, menjawab kepada soalan tersebut, beliau memaklumkan tidak mempunyai maklumat mengenai pertemuan tersebut.
Malah, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu juga memberitahu tidak mempunyai maklumat mengenai pimpinan PKR yang bersama Anwar untuk pergi ke Istana Negara.
Setibanya di Istana Negara, keadaan di sana tenang tidak ramai pengunjung yang sudahpun menjangkakan Anwar tidak akan melalui pintu tersebut.
Kemudian, terdapat beberapa jurugambar yang bersedia di sana bersama beberapa anggota polis yang bertugas di hadapan pintu masuk utama Istana Negara.
Pemberita Suara Merdeka kemudian pergi ke Pintu 2, Istana Negara di Bukit Damansara bagi melihat situasi sebenar.
Untuk makluman, Pintu 2 adalah laluan digunakan kebanyakan pegawai kerajaan atau individu yang ingin menghadap As Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.
Berbanding Pintu Utama Istana Negara yang digunakan oleh orang kenamaan seperti Perdana Menteri, pemimpin negara lain bagi tujuan rasmi.
Pemberita Suara Merdeka tiba di Pintu 2 kira-kira pukul 9.30 pagi.
Pada waktu itu, lebih 100 orang wartawan akhbar dalam dan luar negara sudahpun berkumpul di sana sejak pukul 8.00 pagi bagi menanti ketibaan Ahli Parlimen Port Dickson.
Di samping itu juga kelihatan beberapa petugas keselamatan melibatkan pegawai dan anggota polis di hadapan Pintu 2, Istana Negara, dianggarkan lebih 50 orang.
Mereka meletakkan kon bagi menghadkan ruang para petugas media yang berada di sana bagi memudahkan kawalan keselamatan di pintuk tersebut.
Pihak petugas keselamatan itu kemudian memberi peringatan kepada petugas media supaya menjaga penjarakan sosial dan memakai pelitup muka sepanjang berada di sana.
Kemudian kira-kira pukul 10 pagi, Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Kolonel, Nazim Mohd Alim menyerahkan sumbangan sarapan oleh baginda kepada para petugas media.
Baginda menghargai petugas media yang membuat liputan perkembangan isu semasa dalam negara di hadapan pintu istana.
Kemudian tiba rombongan bersama dua buah kereta iaitu jenis kenderaan utiliti sukan, Volkswagen dan Jaguar berwarna hitam (di hadapan).
Kereta Jaguar itu dilaporkan dinaiki Anwar bersama pegawai dan pemandunya masuk ke Istana Negara.
Namun, agak pelik apabila Anwar tidak membuka tingkap bagi melambai kepada petugas media seperti yang lazim dilakukannya setiap kali bertemu mereka.
Kemudian, kira-kira sejam kemudian iaitu hampir pukul 11.30 pagi, beliau melalui Pintu 2, keluar meninggalkan Istana Negara.
Beliau kemudian membuka tingkap kereta yang berwarna gelap itu memperlihatkan dirinya sambil tersenyum dan mengangkat tangan kepada petugas media.
Berlari petugas media cuba mengejar Anwar bagi mendapatkan reaksi terhadap pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong sebentar tadi.
Namun, tiada sepatah kata diucapkan, hanya senyuman diberi sambil melambai kepada wartawan dan jurugambar yang berteriak “Datuk Seri komen sikit. Datuk Seri bagaimana perkembangan?”.
Kemudian, kenderaan Jaguar dan Volkswagen itu berlalu pergi sambil diiringi beberapa kenderaan pengiring termasuk motosikal peronda polis.
Masih tidak dapat dipastikan adalah beliau berjaya membuktikan majoriti yang didakwa dimilikinya kepada Yang di-Pertuan Agong dalam pertemuan hampir sejam itu.
Pihak berkuasa yang bertugas kemudian meminta petugas media bersurai dan meninggalkan Pintu 2, Istana Negara.
Kemudian pada pukul 12 tengah hari, wartawan Suara Merdeka dimaklumkan terdapat satu sidang akhbar pada pukul 2 petang nanti di Tingkat 6, Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur.
Sidang akhbar tersebut dimaklumkan oleh Fahmi Fadzil.
Lagi laporan berkenaan perkembangan pertemuan Anwar bersama Yang di-Pertuan Agong akan dimaklumkan.
Laporan video secara langsung boleh didapati dalam Facebook Suara Merdeka. – SM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan