Hasimi Muhamad
Kenderaan
yang membawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidddin Yassin tiba di Istana
Abdulaziz, Indera Mahkota, Kuantan bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong,
Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Jumaat. -
Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Rakyat tidak perlu rasa bimbang sekiranya pengisytiharan perintah darurat benar-benar dilakukan oleh kerajaan.
Pengamal
Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor
Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, langkah tersebut tidak akan
menjejaskan kehidupan rakyat, sebaliknya, tindakan itu sebagai langkah
menyelesaikan kemelut yang sedang melanda negara.
"Saya
rasa rakyat tidak perlu bimbang, kalau kita belajar dari sejarah dua
pengisytiharan darurat di Sarawak pada 1996 dan Kelantan pada 1977,
ialah untuk menyelesaikan isu kemelut kerajaan.
"Ia
(darurat itu) tidak memberi kesan kepada rakyat ketika itu. Proses itu
hanya berlaku dalam kerajaan dan dapat diselesaikan dengan peruntukan
ordinan-ordinan yang tertentu ataupun arahan-arahan tertentu," katanya
kepada Astro AWANI dalam temu bual menerusi Skype, pada Jumaat.
Mengulas
lanjut, Nik Ahmad Kamal berkata, situasi yang berlaku dalam negara
ketika ini tidak sama dengan perintah darurat yang dilakukan oleh
kerajaan pada 1969.
"Jadi, di situ memang
berlaku sesuatu yang kita takut. Tetapi untuk kali ini ia tidak akan
berlaku seperti 1969. Apa yang berlaku ialah pihak eksekutif akan cuba
menangani isu kemelut politik dengan cara yang terbaik untuk memastikan
ia dapat diselesaikan dan juga isu pandemik dapat ditangani dengan baik.
"Jadi, saya rasa tidak timbul rasa gentar atau rasa takut dengan apa yang berlaku nanti," katanya lagi.
Bagaimanapun,
Nik Ahmad Kamal menambah, tempoh darurat tidak dapat ditentukan kerana
ia bergantung kepada sejauh mana kemelut itu dapat diselesaikan.
"Apa
yang saya faham ia tidak ditetapkan. Ia bertujuan untuk menyelesaikan
satu-satu masalah dan apabila kemelut itu selesai, ia akan ditamatkan.
"Tetapi
apabila kita lihat darurat 1969, ia hanya selesai atau ditamatkan pada
2011 dan undang-undang darurat itu tamat pada 2012," katanya.
Ketika
ini, timbul desas-desus bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin
Yassin akan mencadangkan pengisytiharan darurat kepada Yang di-Pertuan
Agong bagi mengatasi ketidakstabilan politik dan mengelak lebih banyak
konflik dalam sidang Parlimen akan datang.
Di
bawah Perlembagaan Persekutuan, darurat hanya boleh diisytiharkan oleh
Yang di-Pertuan Agong, seperti peruntukan dalam Perkara 150.
Sebelum
ini, pengisytiharaan darurat dilaksanakan di Sarawak pada 1966
berikutan pergelutan kuasa kerajaan negeri dengan Persekutuan, manakala
Darurat Kelantan 1977 kerana pergelutan kuasa pentadbir negeri dengan
Persekutuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan