PANDUANKINI | Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia - yang diadakan setiap sepuluh tahun - kembali tahun ini dengan pengenalan e-census, selain kaedah biasa pertemuan secara fizikal.
Bancian dalam talian ini sejajar dengan kemajuan teknologi dan di tengah-tengah penularan wabak Covid-19.
Diadakan sejak 1970, sudah lima kali bancian diadakan dengan kali terakhir pada 2010.
Pada 2010, jumlah penduduk Malaysia adalah 27.5 juta. Statistik 2020 menunjukkan angka itu meningkat kepada 32.7 juta.
Apa tempoh masa bagi Banci 2020?
Ia dibahagikan kepada dua fasa.
Fasa pertama:
Bermula pada 7 Julai dan diadakan menerusi temu duga melalui telefon dan e-cencus.
Bagi e-census, Jabatan Perangkaan Malaysia akan menghantar poskad yang mengandungi kod undangan kepada peserta terpilih untuk menjawab soal selidik di https://ecensus.mycensus.gov.my.
Bagaimana jika saya tak terima poskad?
Jika anda tidak menerimanya dan mahu menyertai e-census, anda boleh meminta kod undangan di laman web yang sama. Bagaimanapun tarikh tutup prapendaftaran adalah pada 30 September lalu.
Anda diberi masa sehingga 6 Oktober untuk melengkapkan soal selidik yang disediakan.
Fasa kedua:
Bermula pada 7 Oktober. Petugas banci akan ke rumah orang awam yang tidak terpilih atau tidak membuat e-census untuk temuduga secara berdepan.
Temuduga dibuat sama ada menerusi komputer, kertas dan pen, atau dengan meninggalkan borang dan mengambilnya semula kemudian (drop-off and pick up).
Fasa kedua berakhir pada 24 Oktober.
Bagaimana jika saya mendaftar untuk e-census tetapi tidak menjawab soal selidik sehingga tamat tarikh tutup?
Petugas banci akan mengadakan temuduga secara berdepan, mengikut fasa kedua.
Apakah soalannya?
Soal selidik dengan 108 soalan yang menyeluruh merangkumi perincian isi rumah seperti pekerjaan, latar belakang pendidikan, gaji dan keadaan kesihatan anggota isi rumah.
Soalan lain termasuk akses kemudahan tertentu di kawasan kediaman, jarak rumah dengan tempat kerja, akses internet, kali terakhir anda berbual dengan jiran, atau berapa kali anda makan pagi dan malam di rumah.
Mengapa maklumat ini penting?
Maklumat yang dikumpul akan digunakan untuk merangka rancangan dan keputusan berkenaan perkhidmatan awam bagi setiap kawasan seperti hospital, sekolah, jalan dan pengangkutan awam.
Pihak berkuasa tempatan juga menggunakan maklumat daripada bancian untuk memenuhi keperluan utama di kawasan mereka.
Selain itu, maklumat ini juga digunakan untuk mendapat input menyeluruh bagi memantau Matlamat Pembangunan Lestari 2030.
Bancian ini penting kerana ia akan menentukan bagaimana dana kerajaan mencecah berbilion ringgit akan dibelanjakan di seluruh negara.
Menurut Pesuruhjaya Banci 2020 Mohd Uzir Mahidin, maklumat ini juga digunakan untuk menaksir indeks kebahagiaan.
Bolehkah jika saya tak ingin sertai banci?
Berdasarkan Akta Banci 1960 (disemak 1969), semua rakyat wajib menyertainya dan menjawab semua soalan.
Seksyen 9(2) mewajibkan rakyat untuk menjawab semua soalan yang disediakan manakala Seksyen 17(1) menyatakan kegagalan berbuat demikian boleh membawa kepada hukuman denda tidak lebih RM100 atau penjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya sekali.
Adakah maklumat saya selamat?
Seksyen 15(2) akta tersebut menjamin kerahsiaan maklumat yang dikumpul oleh semua individu.
Adakah warga asing diambil kira?
Ya. Pekerja asing dan keluarga mereka, serta pelajar asing juga diambil kira. Begitu juga dengan tentera asing serta pegawai diplomatik dan keluarga mereka yang tinggal di Malaysia.
Bagaimanapun, pelancong dan ahli perniagaan dari luar negara serta mereka yang berada di Malaysia untuk tempoh tidak lebih enam bulan dikecualikan.
Siapa lagi yang diambil kira?
Menurut laman web mycensus, turut disertakan dalam banci adalah bayi yang lahir pada atau sebelum hari banci (7 Julai) dan masih hidup pada hari tersebut; mereka yang meninggal dunia pada atau selepas 7 Julai; dan warga yang berulang alik merentasi sempadan atas tujuan kerja atau belajar tetapi tetap tinggal dalam negara.
Siapa lagi yang dikecualikan?
Menurut laman web mycensus, kalangan yang dikecualikan adalah bayi yang lahir selepas 7 Julai, mereka yang meninggal dunia sebelum tarikh itu, dan anggota tentera dan diplomatik serta keluarga mereka yang tinggal di luar negara.
Warga Malaysia dan mereka yang berstatus penduduk tetap yang tiada dalam negara selama enam bulan atau lebih pada tahun 2020, atas tujuan kerja atau belajar, turut dikecualikan.
Bagaimana saya dapat mengenal pasti petugas banci?
Anda boleh mengenal pasti mereka menerusi kad yang memaparkan nama, gambar dan nombor pengenalan mereka. Mereka juga membawa bag sandang yang memaparkan "banci".
*PANDUANKINI ini disediakan oleh Faisal Asyraf.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan