Rabu, 14 Oktober 2020

Agong nasihat Anwar akur perundangan negara

Ainul Asniera Ahsan
MGF07012019_ISTANA-NEGARA_25-1-681x454
Istana Negara

KUALA LUMPUR – Istana Negara mengesahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengemukakan senarai nama Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang didakwa telah memberi sokongan kepadanya.

Sebaliknya Presiden PKR itu hanya mengemukakan jumlah ahli-ahli Parlimen tanpa menamakan mereka untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.

Sehubungan dengan itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah telah menasihati Anwar untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Baginda telah berkenan menerima menghadap Presiden Parti Keadilan Rakyat dan Ketua Pembangkang itu pada jam 11 pagi tadi.

Sesi itu berlangsung selama kurang 25 minit.

Anwar selesai menghadap Agong, jangka adakan sidang media

”Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit ini, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim telah mengemukakan jumlah Ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa
memberi sokongan kepada beliau.

”Walau bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.

“Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah telah menasihati Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara dalam kenyataan.

Pertemuan itu dibuat selepas sesi menghadap yang sepatutnya berlangsung pada 22 September 2020 ditangguhkan ekoran kegeringan baginda dan menerima rawatan di Institut Jantung Negara pada 21 September hingga 3 Oktober lalu. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: