PETALING JAYA: Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary menjelaskan penamatan kontrak ahli Jawatankuasa Teknikal Syarak dan Sivil dibuat selepas penilaian kewajaran dan kedudukan jawatankuasa berkenaan mengikut kepakaran dan pengalaman.
Menyifatkan tindakan itu sebagai amalan biasa beliau berkata, penilaian itu juga bertujuan memperkemaskan gerak kerja jawatankuasa berkenaan supaya lebih efektif dan proaktif.
“Namun, sebahagiannya akan dilantik semula,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Menyentuh mengenai pelantikan semula ahli jawatankuasa yang baharu beliau berkata, perkara itu akan diumumkan dalam tempoh 1 atau 2 minggu lagi.
“Kita akan lantik tokoh ilmuan yang berpengalaman dan mempunyai nama besar dalam bidang syarak dan sivil.
“Diharapkan gandingan muka baharu dan lama ini akan memantapkan gerak kerja jawatankuasa ini,” katanya.
Ditanya adakah ia berkait rapat dengan pertukaran tampuk pentadbiran Marzuk menjelaskan, penamatan jawatankuasa itu tidak mempunyai maksud tersirat.
“Tidak ada apa-apa maksud tersirat. Zaman (kerajaan) sebelum ini pun, menteri sebelum ini pun jika ada berkait dengan keberkesanan perlu diwajahbarukan. Bukan tertakluk di bawah akta mana-mana,” katanya.
Beliau mengulas laporan sebuah portal mengenai penamatan khidmat anggota jawatankuasa berkenaan yang terletak bawah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mulai 14 Ogos lalu walaupun kontrak mereka sepatutnya tamat hujung 2021.
Memetik kenyataan sumber, semua ahli jawatankuasa yang terletak bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu ditamatkan kontrak mereka tanpa diberikan alasan jelas melalui surat bertarikh 14 Ogos 2020 yang ditandatangani Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Al Bakri.
Turut dipecat pengerusinya Sheikh Ghazali Abdul Rahman bersama anggotanya termasuk Hasan Abd Rahman, Nik Rahim Nik Wajis, Najibah Mohd Zain, Zulqarnain Lukman, Norazmir Zakaria, Fauwaz Fadzil dan Mohd Al Adib Samuri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan