Sabtu, 1 Ogos 2020

Ringgit dijangka terus menaik berbanding dolar AS minggu depan

Bank Negara Malaysia dalam sorotan bulanannya pada Selasa berkata, eksport
Malaysia meningkat semula sebanyak 8.8% pada Jun tahun ini selepas menguncup
25.5% pada Mei, 2020.

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka meneruskan aliran menaik berbanding dolar AS minggu depan berikutan sentimen terhadap mata wang Asia kekal menarik di tengah-tengah ketidaktentuan mata wang Amerika Syarikat itu.

Pada mesyuarat 2 hari yang berakhir pada 29 Julai lepas, Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) menegaskan pendiriannya yang cenderung untuk menurunkan kadar faedah dan sebarang turun naik dalam pertumbuhan dan hasil bon akan diimbangi dengan sejumlah besar wang Fed yang dilabur dalam pasaran saham.

Penganalisis kanan pasaran OANDA bagi Asia Pasifik Jeffrey Halley berkata, paling penting, pengerusi Fed Jerome Powell mengulangi bahawa mereka akan bertindak sekiranya berlaku sebarang kekurangan dolar AS.

“Ini akan memberi kelegaaan kepada pasaran sedang pesat membangun dan membuka jalan bagi memulakan semula jualan dolar AS,” katanya.

Seorang lagi peniaga berkata sentimen terhadap ringgit akan didorong oleh peningkatan eksport yang dicatatkan pada Jun, 2020.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam sorotan bulanannya pada Selasa mengumumkan bahawa eksport Malaysia meningkat semula dengan pertumbuhan sebanyak 8.8% pada Jun tahun ini selepas menguncup 25.5% pada Mei, 2020.

Menurut bank pusat itu, eksport dijangka beransur-ansur meningkat pada separuh kedua tahun 2020 susulan permintaan luaran yang bertambah baik berikutan pelonggaran langkah pembendungan yang dilaksanakan di kebanyakan negara.

Bagi asas Khamis hingga Jumaat, ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS pada 4.2380/2420 daripada 4.2620/2660 pada minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan rendah berbanding kelompok mata wang utama lainnya.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0806/0849 pada Khamis daripada 3.0764/0797 pada Jumaat minggu lepas dan turun berbanding yen Jepun kepada 4.0350/0400 daripada 4.0068/0117.

Mata wang tempatan susut berbanding pound Britain kepada 5.5102/5176 daripada 5.4268/4336 dan rendah berbanding euro kepada 4.9826/9882 daripada 4.9426/9481 sebelumnya.

Pasaran tempatan ditutup pada Jumaat bersempena cuti umum Aidiladha.

Tiada ulasan: