Sabtu, 22 Ogos 2020

Menteri dah kena kompaun: KKM

Noor Atiqah Sulaiman
 
MOHD Khairuddin Aman Razali. FOTO Ghazali Kori

KEMENTERIAN Kesihatan mengesahkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dikenakan kompaun RM1,000 selepas gagal mematuhi peraturan mengikut Akta 342.

Di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342), kerajaan mewajibkan semua individu yang baru tiba dari luar negara termasuk warganegara dan warga asing untuk menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sebagai langkah mengekang penularan Covid-19.

"Mohd Khairuddin melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 [Akta342].

"Disebabkan Mohd Khairuddin gagal mematuhi peraturan di bawah akta terbabit, Pegawai Diberi Kuasa (PDK) sudah mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,000 kepada beliau pada 7 Ogos lalu dan beliau sudah membayar kompaun berkenaan," katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Menurut kenyataan berkenaan, Mohd Khairuddin pulang ke negara ini dari Turki pada 7 Julai lalu dan sampel kali pertama sudah diambil pada hari yang sama dan didapati negatif.

"Ujian saringan Covid-19 kali kedua dan ketiga juga menunjukkan keputusan negatif," katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok ketika persidangan Dewan Rakyat mempertikaikan mengenai tidakpatuhan arahan kuarantin oleh Mohd Khairuddin.

Tiada ulasan: