KUALA LUMPUR – Tidak tahu fungsi mendaftar, kurang mahir dalam penggunaan teknologi digital, selain tidak lagi memerlukan bantuan kerajaan menjadi antara sebab golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV).
Ketua Pengarah JHEV, Mej Jen Datuk Dzulkarnain Ahmad berkata, kekangan itu menyukarkan pihaknya untuk menyampaikan segala bentuk bantuan serta manfaat disalurkan kerajaan menerusi JHEV kepada veteran tentera.
Beliau berkata, menerusi rekod sehingga 30 Julai lepas, keseluruhan jumlah veteran ATM dan tanggungan ialah seramai 306,900 orang.
“Ia dibahagikan kepada tiga kategori iaitu seramai 102,559 orang adalah veteran berpencen, 180,395 orang veteran tidak berpencen manakala 23,946 orang adalah penerima pencen terbitan (balu veteran ATM),” katanya kepada Bernama.
Dzulkarnain berkata, daripada jumlah veteran tidak berpencen, hanya 95,933 orang sahaja telah mendaftar selain mempunyai rekod lengkap sementara baki 84,462 masih tidak mendaftar.
Katanya, JHEV berharap veteran ATM tidak berpencen yang masih belum berdaftar segera berbuat demikian bagi memudahkan jabatan itu menyalurkan bantuan atau kemudahan yang diberikan oleh kerajaan.
“Ada dalam kalangan mereka yang telah berusia dan tidak mahir dengan teknologi digital sekali gus menyukarkan mereka untuk mendaftar secara dalam talian. Terdapat juga keadaan yang mana mereka ini mempunyai pekerjaan sendiri selepas bersara dan tidak mahu ada sebarang ikatan lagi dengan pihak kerajaan,” katanya.
Menurut Dzulkarnain, satu jawatankuasa khas turut dibentuk yang berperanan menyemak dokumen salinan asal veteran ATM tidak berpencen untuk didaftarkan semula ke dalam sistem pendaftaran sedia ada.
Katanya, gerak kerja jawatankuasa itu yang memasuki tempoh dua bulan sejak bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) diumumkan kerajaan, memudahkan lagi usaha JHEV dalam mengesan dan mendaftarkan golongan terbabit.
Beliau berkata, proses menjejaki veteran ATM tidak berpencen itu juga dibantu 132 persatuan induk dan 350 cawangan persatuan membabitkan veteran tentera.
“Melalui penyertaan mereka bersama persatuan-persatuan terbabit, usaha menjejak dan mengesan dapat dilaksana secara berterusan,” katanya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan