IPOH: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak sedang menjalankan aktiviti pengesanan dan ujian saringan Covid-19 ke atas kontak rapat, termasuk semua pesakit yang dirawat seorang anggota kesihatan di sebuah klinik kesihatan di sini.
Pengarah Kesihatan Negeri Dr Ding Lay Ming berkata, ini berikutan anggota kesihatan tersebut merupakan kes positif Covid-19 yang dilaporkan sebelum itu.
Beliau berkata, anggota kesihatan itu menjalani saringan selepas menunjukkan gejala jangkitan saluran pernafasan di sebuah klinik kesihatan Rabu lepas sebelum ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) Covid-19 didapati positif pada keesokannya.
“Ketika ini, anggota terbabit dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut. Siasatan rapi untuk mengesan punca jangkitan masih dijalankan
.
Dr Ding Lay Ming
“Saringan awal ke atas 5 orang kontak keluarga yang tinggal serumah dengan anggota ini didapati negatif Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.
Ding berkata, pihaknya mengambil maklum mesej tular di laman sosial melibatkan seorang lelaki yang marah terhadap tindakan anggota kesihatan itu yang masih menjalankan tugas meskipun mempunyai gejala jangkitan saluran penafasan.
Terdahulu tular di Facebook, seorang lelaki menyatakan isteri dan anaknya diminta untuk membuat saringan Covid-19 selepas seorang anggota kesihatan yang menjalankan tugas di kemudahan berkenaan positif wabak itu.
Turut dinyatakan, isteri dan anaknya telah menerima rawatan daripada jururawat berkenaan ketika menjalankan pemeriksaan rutin di klinik kesihatan itu.
Ding berkata anggota kesihatan berkenaan sebelum ini mempunyai gejala “Influenza Like Illness” (ILI) dan bukan diletakkan sebagai pesakit dalam siasatan (PUI) untuk jangkitan Covid-19.
“Anggota itu juga tidak mempunyai sejarah mengunjungi kawasan yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Kedah dan tiada sejarah kontak rapat dengan mana-mana kes positif Covid-19 sebelum ini.
“Sepanjang menjalankan tugas dalam tempoh ini, anggota ini sentiasa memakai pelitup muka dan mengamalkan mencuci tangan dengan sabun dan air atau menggunakan pensanitasi tangan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan