KUALA LUMPUR: Isu kematian bayi dan kanak-kanak dalam kenderaan akibat kecuaian ibu bapa mahupun penjaga antara perkara bakal dibangkitkan dalam sidang Dewan Rakyat yang memasuki hari ke-12 hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, isu itu terkandung dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan yang diajukan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) kepada menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.
Rubiah ingin tahu tindakan konklusif kementerian itu untuk menangani kes seorang bayi 9 bulan yang maut di Kuantan, Pahang pada Februari lalu, selepas bapanya secara tidak sengaja meninggalkan mangsa di dalam kereta semasa keluar bekerja.
Sabri Azit (PAS-Jerai) pula dijadual bertanyakan menteri komunikasi dan multimedia mengenai langkah mengatasi masalah liputan internet di kawasan luar bandar, berikutan talian komunikasi itu amat diperlukan ketika negara menghadapi pandemik Covid-19.
Teo Nie Ching (PH-Kulai) pula dijangka mengajukan soalan kepada menteri pendidikan mengenai jumlah murid berkeperluan khas, jumlah guru pendidikan khas dan rancangan menambah bilangan guru pendidikan khas.
Sidang Dewan Rakyat pada hari pertama minggu ke-4 juga akan menyambung perbahasan ucapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Selain itu, tumpuan juga dijangka terarah kepada pembentangan beberapa rang undang-undang bagi bacaan ke-2, termasuk RUU Perbekalan Tambahan (2019) 2020, RUU Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020, RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 dan RUU Racun (Pindaan) 2019.
Sidang Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baru dengan mematuhi SOP bagi membendung penularan Covid-19.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan