Khamis, 13 Ogos 2020

IGP sebak, tiada satu malam pun tak tidur lena sebab Mazlan di sisi

Kumara Sabapatty
MGF13082020_SERAH-TERIMA-TUGAS-TIMBALAN-KETUA-POLIS_17-681x454
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador kelihatan sebak ketika 
menyampaikan ucapan pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua 
Polis Negara dan Naib Pengerusi PERKEP Malaysia di Maktab PDRM, 
Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL

KUALA LUMPUR – Tan Sri Abdul Hamid Bador mengakui tiada satu malam beliau tidak pernah tidur lena kerana timbalannya, Datuk Mazlan Mansor sentiasa berada di sisinya untuk menangani segala cabaran.

Ketua Polis Negara berkata, selepas 40 tahun sembilan bulan berkhidmat bersama dari pangkat Inspektor Percubaan, beliau dengan berat hati terpaksa berpisah dengan seorang pegawai yang taat serta berintegriti tinggi dalam menjalankan tugas sejak empat dekad lalu.

“Sejak hari pertama lagi Mazlan Mansor dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 9 Mei 2019 lalu saya berikan segala kepercayaan kepadanya dan dia taat setia melaksanakan setiap tugas yang diamanahkan.

“Bersyukur dapat membalas dengan menghasilkan prestasi kerja yang sangat cemerlang dengan kelayakan akademik berkelulusan undang-undang dari University of Wale, England.

“Selama ini saya relaks sangat dan tidak pernah ada satu malam pun saya tidak boleh tidur walaupun banyak sangat isu yang menekan saya kerana adanya timbalan saya yang penuh berpengalaman dan berkelayakan tinggi yang mana saya tahu dia mampu terima segala cabaran sebelum ia datang pada saya dan menyelesaikannya,” katanya dalam nada sebak pada sidang media di Maktab Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Cheras, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis Serah Terima Tugas antara Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor dan Datuk Seri Acryl Sani Abullah Sani yang akan memangku jawatan itu.

MGF13082020_SERAH-TERIMA-TUGAS-TIMBALAN-KETUA-POLIS_03-1024x683
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador (tengah) 
menyaksikan penyerahan tugas Mantan Timbalan Ketua Polis 
Negara, Datuk Mazlan Mansor (kiri) kepada Timbalan Ketua 
Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani (kanan) 
pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis 
Negara dan Naib Pengerusi PERKEP Malaysia di Maktab 
PDRM, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL

Menurut Abdul Hamid, beliau memiliki ilmu dan pengalaman yang terhad namun dengan adanya seorang timbalan yang berdisiplin dan tegas dalam menjalankan tugas selain kelayakan akademik dari England memungkinkan segalam cemuhan terhadap PDRM dapat ditangkis.

“Dia bijak dan berpengalaman sangat sehingga membantu saya menangkis apa sahaja tuduhan (dan) cemuhan yang boleh mengaibkan PDRM berjaya ditanganinya dengan kebijaksanaannya,” katanya.

Tiada ulasan: