Jumaat, 14 Ogos 2020

3 ditahan SPRM disyaki rasuah RM3 juta

Tiga suspek berusia 39 hingga 73 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM petang 
semalam. (Gambar Bloomberg)

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas ahli lembaga pengarah dan 2 pengarah syarikat dalam kes rasuah membabitkan projek pembalakan berjumlah lebih RM27 juta.

Suspek berusia 39 hingga 73 tahun itu ditahan selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM lewat petang semalam.

Menurut sumber, mereka disyaki mengambil dan menerima rasuah sehingga RM3 juta berkaitan pemerolehan projek pembalakan di tanah seluas 6,591.67 ekar di sebuah daerah di Pahang pada 2015.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009. Jika sabit kesalahan, mereka mungkin dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda 5 kali nilai suapan.

Semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini untuk direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu, tetapi enggan mengulas lanjut.

Tiada ulasan: