Khamis, 23 Julai 2020

UiTM perkenal alat pengesan pintar Covid-19

Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED

Ketua Pegawai Eksekutif Marii, Datuk Madani Sahari (kanan) bersama Timbaland Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UITM, Prof Dr. Mohd Nazip Suratman (tiga dari kiri) melihat alat pengesan pintar covid-19 yang dihasilkan oleh UITM di UITM, Shah Alam. UTUSAN/ABD. SAMAD

SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjadi institusi pengajian tinggi (IPT) pertama yang berjaya membangunkan alat pengesan pintar Covid-19.

Alat yang menggunakan Sistem Modular dan Terbuka (MOST-Plus) itu berfungsi khas untuk memeriksa suhu badan individu selain sanitasi tangan dan semburan automatik pada kasut.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UiTM, Prof. Dr. Mohd. Nazip Suratman berkata, teknologi alternatif itu dibangunkan penyelidik Institut Penyelidikan Pembuatan Pintar dan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) sejak dua bulan lalu.

“MOST-Plus dilihat dapat membantu komuniti dan pengusaha industri mematuhi prosedur ditetapkan kerajaan dalam usaha membendung penularan pandemik Covid-19.

“Alat ini merangkumi pelbagai fungsi serba guna kerana bukan hanya memeriksa suhu badan malah mengimbas identiti individu selain sanitasi tangan dan semburan kaki pada masa yang sama.

“Buat permulaan ini, kita akan meletakkan alat ini di masjid dan klinik kesihatan UiTM terlebih dahulu,”katanya selepas melancarkan alat itu Masjid UiTM di sini hari ini. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari.

Dalam pada itu, Mohd. Nazip berkata, selain masjid dan klinik kesihatan, pihaknya bercadang untuk menempatkan alat tersebut di semua kampus UiTM seluruh negara secara berperingkat.

“Alat akan diletakkan di semua fakulti bagi mengimbas semua kakitangan dan penuntut namun bergantung sepenuhnya kepada situasi pandemik semasa,”  katanya.

Sementara itu, Madani berkata, pihaknya turut akan mengkomersialkan sistem berkenaan secara meluas kepada semua pihak industri di negara ini.

“Kita sedang mempertingkatkan fungsi alat tersebut dengan menggunakan aplikasi teknologi kecergasan buatan (AI) seperti untuk mengesan simptom Covid-19 seperti batuk, selsema dan sesak nafas,” katanya. – UTUSAN

Tiada ulasan: