Ketua pembangkang Anwar Ibrahim berkata Pakatan Harapan bertegas akan mempertahankan kedudukan Mohamad Ariff Md Yusof dan Nga Kor Ming sebagai speaker dan timbalan speaker Dewan Rakyat pada sidang Parlimen bermula 13 Julai ini.
Presiden PKR itu, berkata, mereka yang menganggap pertukaran tersebut sebagai perkara biasa adalah mereka yang tidak faham tentang sejarah parlimen sedangkan institusi speaker dalam bidang kuasa di Parlimen adalah satu institusi yang penting.
“Dalam kes Tan Sri Ariff ini dianggap mantan hakim yang telah menjalankan tugas dengan baik.
“(Kita) sudah lihat beberapa langkah reformasi parlimen yang belum pernah berlaku sebelum ini - select committee, kaukus, kegiatan parlimen, latihan, hubungan dengan beberapa badan antarabangsa, beri peluang pendedahan kepada ahli parlimen yang muda.
“Jadi oleh yang demikian, kita akan secara tegas dan keras mempertahankan kedudukan Tan Sri Ariff dan juga timbalan speaker Nga Kor Ming,” katanya kepada pemberita di Port Dickson apabila ditanya mengenai usul tertentu yang akan dibawa oleh PH pada sidang parlimen nanti.
Muhyiddin juga dilaporkan telah menghantar notis mencalonkan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun sebagai speaker baru, manakala anggota parlimen Pengerang Azalina Othman Said pula sebagai timbalannya.
Bagaimanapun, dalam satu wawancara, Nga berkata dirinya dan Ariff Md Yusof tidak meletakkan jawatan sehingga sekarang kerana kedudukan itu diputuskan oleh cabang legislatif dan bukannya eksekutif.
SPR hari ini mengesahkan bahawa Azhar telah meletakan jawatan sebagai pengerusi badan itu pada 29 Jun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan