Umno Sabah akan bertemu presiden parti itu Ahmad Zahid Hamidi bagi mendapatkan penjelasan terperinci berhubung keputusan Umno mencalonkan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri bagi PRU15.
Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin berkata setakat ini beliau masih belum mendapat maklumat terperinci berhubung perkara berkenaan.
"Saya selaku ketua Umno Sabah belum lagi dimaklumkan secara terperinci dan hanya mendapat berita melalui media massa dan media sosial.
"Apa pun pada saya Umno mempunyi ketua dan ketua saya adalah presiden parti.
"Umno Sabah menaruh kepercayaan kepada presiden parti dalam membincang hala tuju parti Umno secara keseluruhan.
"Saya akan bertemu dengan presiden dalam masa terdekat ini untuk meminta penjelasan secara terperinci berkenaan persetujuan tersebut," katanya kepada Malaysiakini.
Semalam, Umno dan PAS secara prinsip bersetuju untuk terus menyokong Muhyiddin sebagai calon perdana menteri bagi menghadapi PRU15.
Mengesahkan perkara itu, Setiausaha Bersama Sekretariat Muafakat Nasional Annuar Musa, berkata keputusan itu dibincang dalam mesyuarat bersama baru-baru ini.
Kenapa jadi 'songsang'
Justeru, beliau berkata, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu itu mendapat sokongan kedua-dua parti Melayu Islam terbesar.
"Untuk pilihan raya akan datang, secara prinsipnya kedua-dua parti telah bersetuju untuk menamakan atau menyokong Perdana Menteri, Muhyiddin sebagai calon perdana menteri seterusnya," kata Annuar.
Keputusan Muafakat Nasional itu mendapat sindiran parti Putra pimpinan Ibrahim Ali yang menyifatkan Umno dan PAS hanya tahu "berkokok" namun tiada calon perdana menteri.
Jelas Ibrahim, partinya yang baru ditubuhkan sejak beberapa tahun lalu pun sudah mempunyai calon perdana menteri bagi PRU15.
Dalam pada itu, Bung berkata walaupun Umno Sabah mempunyai kuasa autonomi, namun mereka juga adalah sebahagian daripada Umno Malaysia.
"Mungkin juga presiden Umno dan presiden PAS serta presiden Bersatu mempunyi perundingan atau perbincangan tertentu," katanya lagi.
Sementara itu, The Straits Times Singapura melaporkan beberapa ketua Umno mempersoalkan keputusan pemimpin parti itu mencalonkan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri.
Bekas menteri Shahrir Samad dilaporkan berkata, masih terlalu awal untuk menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri ketika rundingan kerusi PRU15 masih belum dimuktamadkan.
"Kena selesaikan soal siapa jadi perdana menteri dulu ke? Kenapa semuanya jadi songsang?
"Bukankah patutnya selesai dulu soal bagaimana BN, MN (Muafakat Nasional) dan/atau PN akan masuk bertanding dalam PRU 15?" kata Shahrir di Facebooknya, semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan