PETALING JAYA: Kerajaan Selangor memecat bekas ketua Wanita PKR, Haniza Talha dari barisan exco, selepas keahliannya dilucutkan PKR.
Menteri Besar Amirudin Shari berkata pengguguran Haniza, yang juga Adun Lembah Jaya, mendapat persetujuan Sultan Selangor, Sultan Sharuddin Idris Shah semalam.
Portfolio perumahan dan kehidupan bandar kini dipangku Amirudin, dan sebarang program berkaitan ditangguhkan buat sementara waktu.
“Kerajaan Negeri ingin mengucapkan terima kasih atas sumbangan Haniza dan selamat maju jaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Amirudin, hari ini hari terakhir khidmat Haniza sebagai exco Selangor.
“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bermesyuarat pada 8 Julai berkenaan status Haniza, bersesuaian dengan keputusan PKR berkenaan pelucutan keanggotaan beliau,” katanya.
Majlis pimpinan pusat PKR melucutkan keahlian Haniza pada 28 Jun lalu atas syor lembaga disiplin parti.
Keahliannya tergantung sejak 6 Apr kerana menemui bekas timbalan presiden, Azmin Ali dan bekas naib presiden, Zuraida Kamarudin di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Februari.
Kedudukan sekarang di Dewan Negeri Selangor terdiri daripada 17 kerusi PKR, 16 kerusi DAP dan 8 kerusi Amanah, diikuti Barisan Nasional (5), PPBM (5), PAS (1) dan 4 kerusi bebas termasuk Haniza.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan