Selasa, 21 Julai 2020

Covid-19: Kes baharu kembali naik, kini 21 kes

Mohammad Arif Nizam
MGF06072020_PC-HARIAN-KKM08-1-681x454
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat 21 kes baharu Covid-19 hari ini menjadikan jumlah kes positif wabak adalah sebanyak 8,800 kes.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif kini dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah sebanyak 122 kes dan semua pesakit telah diasingkan dan diberi rawatan.

Jelas beliau, daripada 21 kes baharu yang dilaporkan, enam kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan empat warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja.

“Enam kes import tersebut adalah dari negara Filipina sebanyak 3 kes, India (1 kes); Rusia (1 kes); dan Denmark satu kes.

“Daripada 15 kes penularan di dalam negara, 13 kes adalah di kalangan warganegara Malaysia dan dua kes adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noor Hisham menambah, kes penularan Covid-19 dalam negara di kalangan warganegara Malaysia adalah di Johor sebanyak 12 kes daripada Kluster Rumah Warga Emas Kluang.

Tambahnya, Negeri Sembilan mencatatkan satu kes saringan pra pembedahan di sebuah pusat perubatan dan mangsa telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

“Bagi kes jangkitan dalam negara sebanyak 2 kes di kalangan bukan warganegara pula adalah di Johor adalay dua kes iaitu satu kes saringan pra pembedahan dan satu kes daripada Kluster Rumah Warga Emas Kluang.

“Sehingga kini, hanya tiga kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi.

“Satu kes memerlukan bantuan pernafasan dan dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 123 kes atau 1.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: