Sabtu, 4 Julai 2020

Adun Sg Acheh akan sertai PN, parti mana belum tentu

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim yang ternyata kecewa dengan PKR bakal menyertai parti gabungan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, beliau langsung tidak diberi peluang untuk membela diri atau rayuan dan terkejut menerima surat pemecatan bertarikh 1 Julai kerana tiada alasan dinyatakan berhubung tindakan tersebut terhadapnya.

Menurutnya, setakat ini beliau masih belum menyertai mana-mana parti politik namun akan berbuat demikian dalam masa terdekat.

"Insya-Allah dalam masa terdekat ini saya akan memilih PN kerana ada Umno, PAS, Bersatu dan saya akan menyerah borong permohonan rasmi menyertai parti dalam PN di Kuala Lumpur nanti," katanya dalam sidang media di Pusat Khidmat Adun Sungai Acheh, di Nibong Tebal hari ini.

Zulkifli berkata beliau akan menyertai pihak pembangkang dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang akan datang.

"Saya bukan Adun bebas tapi Adun PN cuma parti sahaja belum ditentukan lagi dan saya akan buat pengumuman seterus dalam masa yang singkat," katanya.

Mengenai pemecatan itu, beliau berkata Jawatankuasa Disiplin PKR sepatutnya memanggil beliau untuk siasatan sebelum pemecatan tetapi proses itu tidak berlaku dan terus dipecat.

"Saya amat terkejut kerana saya sendiri pun tidak tahu dipecat atas sebab apa,"katanya

Tambahnya, beliau juga tidak akan membuat rayuan dalam tempoh yang diberikan kerana hilang kepercayaan terhadap pemimpin parti.

Antara yang turut hadir memberi sokongan termasuklah Adun Penaga, Mohd Yusni Mat Piah, Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang, Muhamad Yusoff Mohd Noor dan Adun Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim.- Bernama

Tiada ulasan: