Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebarang pembaharuan perjalanan pilihan raya juga tidak boleh sama sekali menghakis atau melanggar hak asasi dalam berdemokrasi.
“ERC dilaporkan akan mencadangkan sistem “Perwakilan Berkadar” dan memansuhkan Pilihan Raya Kecil (PRK). Kefahaman umum ialah “Perwakilan Berkadar” merupakan suatu sistem atau pilihan raya di mana keputusan akhir pilihan raya adalah berdasarkan kepada agihan undi yang diperoleh oleh setiap parti.
“Misalnya, jika parti A menang 50% undi keseluruhan pilihan raya, 50% kerusi di Parlimen akan diberi kepada parti tersebut.
“Ini bermakna setiap undian adalah diberikan pemberat. Manakala dalam sistem pengundian majority mudah (simple majority), peratusan ini tidak penting.
“Saya difahamkan melalui sistem yang dicadangkan ini, pilihan raya kecil juga tidak akan diadakan jika berlaku kematian wakil rakyat atau kekosongan disebabkan faktor tertentu.
“Kerusi tersebut akan diganti secara automatik oleh parti yang mewakili kawasan tersebut sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Cadangan ini juga bermakna, tiada lagi sistem yang membenarkan individu tanpa parti bertanding dalam pilihan raya, katanya.
“Semua ini bukan sahaja menyekat hak rakyat tanpa parti untuk bertanding dalam pilihan raya, tetapi juga menyekat hak rakyat sesuatu kawasan memilih wakil mereka ke Parlimen.
“Akhirnya demokrasi di negara ini akan menjadi gelanggang percaturan parti politik dan tidak lagi tentang perwakilan rakyat yang sebenarnya.
“Lebih mengelirukan khabarnya cadangan ini mengecualikan Sabah dan Sarawak. Sabah dan Sarawak akan terus menggunakan sistem pemilihan sedia ada.
“Apa rasionalnya perlu ada dua sistem berlainan antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak?” soal Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau itu lagi.
Menurutnya, pembaharuan amalan pilihan raya mestilah tidak janggal kepada sistem demokrasi yang telah berfungsi dengan baik semenjak Malaysia merdeka.
Pengenalan sistem yang di luar kelaziman adalah sangat ‘counter-productive’ kepada kesuburan demokrasi.
“Alasan dangkal seperti mengelakkan pembaziran wang rakyat melalui pilihanraya kecil adalah sangat tidak munasabah. Tiada harga yang setanding nilainya dengan hak untuk berpartisipasi dalam demokrasi.
“Saya menyeru agar segala pembaharuan amalan pilihanr raya di negara ini dilaksanakan dengan telus, mengambil kira kearifan tempatan dan memberi nilai kepada sistem pilihanraya ‘ala Malaysia’ yang telah terbangun semenjak negara ini merdeka,” ujarnya.
Janganlah kekalahan dalam empat PRK, kata Mohamad menjadikan kerajaan begitu gerun dan gundah sehingga mencadangkan pembaharuan yang sangat tidak selari dengan kepentingan demokrasi Malaysia.- MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan