HAMPIR sembilan tahun gadis ini hidup bergantung kerusi roda, namun semuanya berubah selepas 12 hari dia berada di Makkah untuk menunaikan umrah.
Daripada lumpuh disebabkan ketidakupayaan kaki kiri, Haziqah Nurul Huda Harun, 23, sudah boleh berdiri dan menggunakan tongkat untuk bergerak.
Katanya, insiden ketika mengerjakan umrah bersama ibu bapanya, Rohana Latif, 55, dan Harun Che Muda, 64, pada 10 hingga 21 Disember lalu sangat meninggalkan kesan, malah mengubah hidupnya 100 peratus.
“Saya jatuh terlentang ketika di hadapan pintu masuk Masjidil Haram dan kerusi roda saya juga dicuri ketika mengerjakan tawaf.
“Tetapi Allah maha mengetahui, insiden itu bukanlah musibah sebaliknya anugerah Allah kerana sejak kejadian itu, kaki kiri Yaya (panggilan manjanya) yang selama ini lumpuh, sudah makin berfungsi,” katanya ketika dihubungi di Chukai, hari ini.
Gadis itu yang dikenali sebagai usahawan kuih bakul halal, lumpuh selepas dijangkiti kuman ketika berusia 15 tahun dan kerusi roda sudah menjadi alat bantu wajib untuknya bergerak.
“Sembilan tahun Yaya hidup bergantung kepada kerusi roda tetapi sejak kerusi roda hilang di Makkah, Yaya tidak lagi memerlukannya. Pada mulanya ralat juga apabila kerusi roda yang diletakkan di tempat letak peralatan itu, hilang selepas selesai mengerjakan tawaf.
“Tetapi sekarang, sangat bersyukur kerana hilangnya ia mendorong Yaya bergerak tanpa menggunakan peralatan itu lagi. Yaya hanya menggunakan tongkat sepanjang berada di Mekah dan sekarang lebih selesa bertongkat,” katanya.
Haziqah Nurul Huda menganggap hikmah kehilangan kerusi roda dan jatuh di hadapan pintu Masjidil Haram sebagai terlalu besar untuk insan kerdil sepertinya.
“Memang sangat sakit akibat terjatuh hingga Yaya demam tetapi, hikmahnya Allah kembalikan kaki kiri Yaya dan ia semakin berfungsi dengan baik.
“Doktor juga terkejut dengan perkembangan drastik ini dan harapan Yaya untuk berjalan seperti biasa sangat cerah selepas ini,” katanya.
Berikutan saiz kaki kirinya kecil berbanding kanan, katanya, dia perlu menjalani beberapa siri fisioterapi dan yakin perubahan positif sedikit demi sedikit..
“Terlalu banyak dugaan yang dilalui sepanjang 2019. Dugaan daripada orang sekeliling, dugaan dalam perniagaan dan tahap kesihatan Yaya yang tidak menentu. Tetapi rupanya Allah ingin anugerahkan sesuatu yang istimewa kepada Yaya menjelang 2020.
“Berkat kesabaran dan doa yang tidak putus-putus, selain sentiasa bersangka baik terhadap ketentuan Allah, akhirnya impian Yaya untuk kembali pulih bakal menjadi kenyataan pada 2020,” katanya.
Menurutnya, impiannya untuk memakai gaun indah dan berdiri juga tertunai selepas menerima Anugerah Inspirasi Kehormat CEO 2019 di Putrajaya, baru-baru ini.
Haziqah Nurul Huda mula dikenali selepas mengusahakan perniagaan kuih bakul atau 'Nian Gao' yang menjadi makanan wajib bagi kaum Cina setiap kali menjelang perayaan Tahun Baru Cina.
Kegigihan gadis OKU itu melayakkannya menerima Anugerah Tokoh Orang Kurang Upaya (Perempuan) pada majlis sambutan Maal Hijrah 1440 Hijrah/2018 peringkat Terengganu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan