Sabtu, 28 Disember 2019

Annuar nafi wujud campur tangan prosiding lembaga disiplin Umno

MALAYSIAKINI




Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa menegaskan bahawa kepimpinan parti tidak masuk campur dalam hal jawatankuasa disiplin parti.

"Adalah ditegaskan jawatankuasa disiplin adalah sebuah jawatankuasa yang dibentuk berdasarkan perlembagaan parti dan bebas. Ia kekal demikian.

"Adalah ditegaskan bahawa adalah tidak benar wujud campur tangan dalam proses atau prosiding jawatankuasa disiplin," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kenyataan media itu hadir selepas Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Mohamed Apandi Ali mendakwa wujud campur tangan dalam prosiding disiplin terhadap Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein.

Prosiding, yang sepatutnya berlangsung Khamis lalu, ditangguh.

"Saya tidak arahkan sebarang penangguhan, ada yang tidak kena," katanya Apandi sebelum ini.
Apandi juga berkata beliau mengarahkan setiausaha lembaga itu untuk menyediakan surat peletakan jawatannya sebagai pengerusi kerana beliau "tidak sanggup menjadi kuda tunggangan".

Bagaimanapun, Annuar berkata beliau belum menerima surat peletakan jawatan Apandi dan berharap perkara itu dapat dijelaskan sebaik bekas peguam negara itu pulang dari luar negara.

"Saya telah berkesempatan menghubungi Apandi, dan sahih beliau sedang bercuti di luar negara,

"Saya telah diberi sedikit gambaran apa yang telah berlaku, dan bersetuju perkara ini perlu dibincang secara tertib apabila Apandi pulang dari bercuti

"Beberapa kekeliruan mengenai proses dan tindakan jawatankuasa disiplin akan dimurnikan apabila jawatankuasa tersebut bermesyuarat secara bebas dan dipengerusi sendiri oleh Apandi," katanya.

Annuar juga berharap semua pihak dapat menghormati kedudukan jawatankuasa berkenaan.

Isu berhubung tindakan lembaga disiplin terhadap Hishammuddin dilihat mewujudkan pergeseran dalam parti itu.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Lokman Adam mendakwa presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi menghalang prosiding disiplin berkenaan.

Susulan itu, Ketua Pemuda Umno Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor dan Ketua Pemuda Umno Johor Mohd Hairi Md Shah menyeru pemecatan Lokman.

Lokman pada Oktober lalu memfailkan aduan disiplin terhadap Hishammuddin.

Aduan disiplin terhadap Hishammuddin adalah atas dakwaan bahawa bekas menteri itu terlibat dalam tindakan Ahli Parlimen Umno menyertai Bersatu serta memainkan peranan dalam menganjurkan mesyuarat Ahli Parlimen Umno dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

Hishammuddin telah menafikan salah laku dan menyatakan kesediaan untuk disiasat.


Tiada ulasan: