Selasa, 31 Disember 2019

Waktu Subuh di Melaka lewat 8 minit

Oleh Amir Mamat
 
 

MELAKA: Waktu solat Subuh di Melaka akan dilewatkan selama lapan minit bermula esok berikutan pertukaran darjah paksi ketinggian matahari.

Mufti Negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, perubahan itu sudah diputuskan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-116 pada hujung bulan lalu.

Katanya, perubahan waktu Subuh di Melaka itu juga akan dilakukan serentak dengan Johor manakala Selangor melaksanakannya bulan lalu.

“Mesyuarat itu membincangkan hukum mengenai parameter ketinggian matahari di bawah ufuk bagi penentuan awal waktu solat Subuh dan bersetuju bahawa permulaan waktu solat Subuh di Malaysia menggunakan pada bacaan ketinggian iaitu pada bacaan 18 darjah di bawah ufuk.

“Perubahan ini menyebabkan waktu solat subuh ditambah kepada lapan minit dan sebelum ini bacaan sebenar adalah pada 20 darjah.

“Perubahan berdasarkan hasil kajian pakar berhubung kecerahan langit waktu Subuh yang ditukar kepada 18 darjah dan setiap darjah membabitkan perubahan masa selama empat minit maka sebanyak dua darjah itu menjadikan perubahannya selama lapan minit,” katanya pada kenyataan hari ini.

Pada 29 November lalu, Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan MKI ke-116 memutuskan bahawa perubahan waktu solat subuh yang perlu dilewatkan lapan minit adalah membabitkan seluruh negara.

Selangor negeri pertama melaksanakan kaedah berkenaan.

Abdul Halim berkata, muzakarah juga bersetuju bahawa pelaksanaan solat Subuh sebelum ini menggunakan ketinggian 20 darjah matahari tetap dikira sah kerana keputusan ini dikenali sebagai 'Ijtihadiyyah' yang bergantung kepada perkara yang diutuskan oleh Uli Al-Amri iaitu sebagai pemerintah.

Sehubungan itu, beliau menasihati umat Islam di Melaka supaya peka dengan perubahan waktu terbabit.

“Arahan ini akan berkuat kuasa 1 Januari dan berharap umat Islam di negeri patuh kepada waktu Subuh yang baharu ini,” katanya.

Tiada ulasan: