Khamis, 26 Disember 2019

Pas sedia berdialog dengan Dong Zong dan Jia Zong

Shawaliah Hadir
MGF12092019_PC-HIMPUNAN-UMMAH05
Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas bersedia berdialog dengan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) selain pihak berkempentingan awam yang lain bagi menyelesaikan isu bantahan pengenalan tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan China dan Tamil.

Setiausaha Agung parti itu, Datuk Takiyuddin Hassan yakin cara itu akan dapat menghilangkan prejudis dan pertikaian yang tercetus dalam masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum.

“Pas turut menyambut baik kesediaan pihak Dong Zong dan Dong Jiao Zong untuk mengadakan dialog dengan semua pihak bagi menyelesaikan isu bantahan tulisan Jawi.

“Pas turut bersedia menyertai dialog tersebut dan yakin kaedah berdialog akan memurnikan segala isu berbangkit, menghilangkan prejudis dan syak wasangka yang akhirkan akan mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum ini,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, parti itu juga bersedia untuk berbincang dengan MCA selain kedua-dua persatuan itu bagi membincangkan isu yang menyentuh tentang kepentingan awam.

Ujarnya keterbukaan Pas itu dibuktikan dengan penubuhan Jawatankuasa Mahabbah Pas-MCA pada awal Disemberi ini.

Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan dianggotai oleh sebilangan pimpinan parti daripada kalangan profesional dan agamawan.

“Pas boleh bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan lain bukan sahaja bagi memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini, tapi juga bertanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia serta memastikan keharmonian antara semua kaum,”katanya.

Dong Zong dan Jia Zong baru-baru ini berkata mereka setuju agar isu pengenalan pembelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular diselesaikan melalui dialog.

Dalam kenyataan bersama kedua-dua persatuan itu mengakui bersedia mengadakan perbincangan dengan semua pihak termasuk Menteri Pendidikan, Dr Mazlee Malik bagi menyelesaikan isu itu sebelum atau selepas 28 Disember ini.-MalaysiaGazette

Tiada ulasan: