Selasa, 24 Disember 2019

Cadangan mansuh PRK pelik

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

 

Adakan 'town hall discussion’ seluruh negara, perlu pandangan rakyat


BANGI – Cadangan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihanraya (ERC) untuk memansuhkan Pilihan Raya Kecil (PRK) disifatkan sebagai satu syor yang pelik.

Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, cadangan berkenaan perlu dibahaskan serta diberi ruang kepada rakyat untuk memberikan pandangan. 

“Ini melibatkan masa depan negara, maka wajarlah rakyat diberi ruang untuk bersuara dan memberikan pendapat. 

“Siri-siri ‘townhall discussion’ perlu diadakan di seluruh negara untuk mendengar suara rakyat, jika benar-benar ikhlas dan telus mahu menambah baik sistem,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan Pengerusi Jawatankuasa ERC, Ab Rashid Ab Rahman berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak perlu lagi mengadakan PRK Parlimen selepas ini sekiranya kerajaan menerima sistem yang akan dicadangkan oleh jawatankuasa penambaikan pilihan raya.

Beliau berkata, mengikut sistem baharu yang dicadangkan, kekosongan kerusi Parlimen akan diisi secara automatik oleh parti politik penyandang kerana semasa pilihan raya rakyat akan memilih parti, bukan lagi calon individu.

Difahamkan, ia akan diserahkan kepada parti yang memenangi kerusi tersebut secara automatik untuk melantik sesiapa pun sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut.

Ini bermakna mana-mana parti politik yang menang 50 peratus jumlah pengundi akan memerintah tetapi perubahan ini tidak membabitkan Sabah dan Sarawak.

Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berharap segala pembaharuan amalan pilihan raya di negara ini dilaksanakan dengan telus, mengambil kira kearifan tempatan. 

“Janganlah kekalahan dalam empat PRK, menjadikan kerajaan begitu gerun dan gundah sehingga mencadangkan pembaharuan yang sangat tidak selari dengan kepentingan demokrasi Malaysia,” katanya.


Tiada ulasan: