Rabu, 25 Disember 2019

'PH hanya pandai kritik, tapi gagal tunai janji gaji minimum tinggi'- Najib

HASNIZA HUSSAIN




Najib Tun Razak


SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyindir kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang disifatkannya hanya pandai mengkritik tetapi gagal melokalisasikan janji gaji minimum tinggi.

Menurutnya, PH cuma kuat mengkritik sewaktu mereka menjadi pembangkang dan apabila diseru untuk menyelesaikan apa yang mereka pernah kritik, mereka beri 1,001 alasan kenapa tidak boleh dibuat.

Katanya, tanpa Barisan Nasional (BN) sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri, pekerja-pekerja di Malaysia tidak akan mempunyai Akta gaji Minimum atau Akta Sistem Insurans Pekerjaan.

"Ada yang masih mahu kutuk kerajaan BN yang gaji minimum masa kita adalah rendah tapi saya cuma nak beritahu bahawa Akta gaji minimum ini juga diperkenalkan masa saya jadi PM (Perdana Menteri).

"Kita mula dengan meluluskan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) yang dikuatkuasakan mulai 15 September 2011, malah kita juga mewartakan Perintah Gaji Minimum 2012 (P.U(A) 214) pada 16 Julai 2012 agar gaji minimum mula dilaksanakan pada 1 Januari 2013 pada kadar RM900 sebulan," katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Terdahulu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta agar kerajaan menetapkan gaji minimum sebanyak RM1,800 sebulan untuk penjawat awam kerana kos pada hari ini yang semakin meningkat.

Bagaimanapun, Dr Mahathir memberi reaksi secara berseloroh tentang cadangan itu dengan mengatakan semua kedai tomyam akan tutup sekiranya gaji minimum RM1,800 diberikan kepada penjawat awam.

Menerusi hantaran sama Najib memberitahu, apabila gaji minimum diperkenalkannya maka gaji untuk pangkat-pangkat di atas turut dinaikkan dan diselaraskan.
Najib sindir kerajaan PH yang disifatkan hanya pandai mengkritik tapi gagal menunaikan janji gaji minimum tinggi.

Najib sindir kerajaan PH yang disifatkan hanya pandai mengkritik tapi gagal menunaikan janji gaji minimum tinggi.

"Yang paling kuat membantah ketika itu antaranya ialah seorang bernama 'Chedet' (Dr Mahathir) yang mengatakan Malaysia akan muflis dengan Akta Gaji Minimum ini.

"Seterusnya, kita naikkan gaji minimum ini ke RM1,000 sebulan dan manifesto PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) BN kita adalah untuk menaikkannya lagi ke RM1,500. Masa itu, rata-rata pemimpin PH kata gaji minimum RM1,500 pun terlalu rendah dan rakyat tidak dapat hidup dengan gaji yang rendah ini," katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, kerajaan BN sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri juga meluluskan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 di mana pekerja yang hilang kerja akan diberi bantuan kewangan yang merupakan sebahagian dari gaji terakhir mereka setiap bulan dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Jadi siapa yang benar-benar berniat untuk menjaga nasib pekerja melalui aksi dan bukan cuma bermodalkan air liur bercampur kencing?

"Kamu yang kritik dan kamu yang janji, sekarang tunaikan sahaja tanpa alasan boleh?," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Cuepacs gesa kerajaan naikkan gaji minimum RM1,800

Gaji minimum RM1,800: Habis semua kedai tom yam tutup, kata Tun M


Tiada ulasan: