Jumaat, 27 Disember 2019

Perdana Menteri setuju tangguh pekeliling mansuh BIPK - Syed Saddiq

Astro Awani
Perdana Menteri setuju tangguh pekeliling mansuh BIPK - Syed Saddiq
Syed Saddiq memaklumkan Dr Mahathir bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan pekeliling yang bakal memansuhkan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK).- Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
 
 
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad setuju menangguhkan pelaksanaan pekeliling yang bakal memansuhkan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK).

Perkembangan itu dimaklumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menurut Syed Saddiq, beliau telah berhubung dengan Perdana Menteri yang kini berada di Jepun dengan mengutarakan keresahan anak-anak muda yang berada dalam bidang perubatan berhubung pekeliling baharu yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Perdana Menteri mengambil maklum dan selepas perbincangan tersebut, beliau bersetuju menangguhkan pekeliling yang dikeluarkan khususnya elaun kritikal.
 
"Ahli jemaah menteri akan membincangkan perkara ini dalam mesyuarat jemaah menteri yang pertama pada bulan Januari akan datang," kata Syed Saddiq ketika ditemui selepas solat Jumaat dan program Solat Hajat Perdana serta Qunut Nazilah untuk rakyat Uighur dan Kashmir di Universiti Islam Antarabangsa (UAIM) kampus Gombak, pada Jumaat.

BACA: Pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal hanya libatkan lantikan baharu tahun depan


BACA: Pemansuhan BIPK: Mutu perkhidmatan awam terjejas - Cuepacs


Syed Saddiq sebelum itu turut memaklumkan perkembangan yang sama di laman sosial Twitter peribadinya.
 
Menurut pekeliling terbaharu itu, BIPK bakal dimansuhkan bermula 1 Januari 2020.

Ini bakal memberi kesan kepada 33 skim perkhidmatan kritikal baharu dilantik, termasuk pegawai perubatan.

Saddiq sebelum ini berkata elaun ahli politik dan menteri patut dipotong, dan bukan elaun kritikal doktor, ahli farmasi serta jururawat muda. 
 
 

Tiada ulasan: