Selasa, 31 Disember 2019

Jeti Bagan Nakhoda Omar runtuh

Hamizar menunjukkan keadaan Jeti Nelayan BNO yang roboh pagi tadi.
 
SABAK BERNAM - Sebahagian struktur Jeti Nelayan Simpang Empat Bagan Nakhoda Omar (BNO) sepanjang kira-kira enam meter di sini runtuh pagi tadi.

Kejadian jam 9 pagi itu bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.

Ahli Majlis, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) Zon BNO-Air Manis, Mohd Fahrul Fuad Anuar berkata, pihak kerajaan negeri diminta tampil membantu mempercepatkan permohonan baik pulih jeti itu segera.

"Kami menggesa tindakan segera dilakukan bagi memudah dan mempercepatkan lagi kerja baik pulih jeti ini yang menjadi sumber rezeki kepada kira-kira 60 nelayan pesisir pantai di kawasan ini setiap kali turun ke laut," katanya.

Sementara itu, Penyelaras Pusat Khidmat Peduli Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar, Hamizar Sulaiman berkata, beliau dimaklumkan Persatuan Nelayan BNO tentang kejadian runtuhan itu pagi tadi.

"Jeti ini runtuh dan didapati strukturnya tidak lagi selamat dan berharap kepada mana-mana agensi kerajaan segera menghulurkan bantuan bagi kerja baik pulih.

"Kita yakin kerajaan Pakatan Harapan yang memimpin negara pada hari ini sedia membantu menyelesaikan masalah rakyat," katanya.

Tiada ulasan: