Khamis, 26 Disember 2019

Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal mesti dikekalkan

TUAN IBRAHIM TUAN MAN 
 
 

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menarik balik pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal seperti yang diumumkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2019 – Pengukuhan Pelaksanaan Pemberian Elaun Dalam Perkhidmatan Awam bertarikh 20 Disember 2019. Tindakan pemansuhan tersebut tidak munasabah berbanding kondisi semasa yang dihadapi oleh sebilangan penjawat awam yang terlibat.

Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) telah diperkenalkan sejak pelaksanaan Sistem Saraan Baru pada 1 Januari 1992 dan melibatkan sekurang-kurangnya lebih 35 skim perkhidmatan seperti jurutera, jururawat dan pegawai perubatan. PAS yakin kajian setiap lima tahun terhadap BIPK akan mendapati tahap kritikal bagi beberapa skim tidak berubah terutama dalam sektor kesihatan awam. Mereka terdedah dengan keadaan persekitaran yang berisiko dan pasaran buruh yang sangat tenat.

Sebelum ini, Malaysian Medical Association juga telah memaklumkan bahawa para doktor dan jururawat di hospital serta klinik kerajaan berisiko ‘burnout’ disebabkan tekanan kerja dan kekurangan staf. Pada masa yang sama, Kementerian Kesihatan juga bercadang untuk membekukan pengambilan staf baharu. Kitaran ini akan terus memangsakan penjawat awam yang merupakan tulang belakang kepada kerajaan pada hari ini.

*TUAN IBRAHIM TUAN MAN , Timbalan Presiden PAS
Ahli Parlimen Malaysia (Kubang Kerian) – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: