Ahad, 29 Disember 2019

Jangan ulangi kegagalan PH – YDP Tambun

Harakahadaily


TAMBUN: Pengukuhan organisasi sangat penting ketika ini khususnya sesama parti pembangkang yakni PAS dan Umno agar bersiapsiaga menghadapi sebarang kemungkinan, demikian seru Yang DiPertua PAS Kawasan Tambun, Ustaz Md Salleh Said.

Katanya, kepincangan Kerajaan PH hari ini bagaikan sudah tidak dapat dibendung lagi dan rakyat semakin ‘mual’ dengan perkara yang berlaku seolah-olah tidak berkesudahan, malah rakyat pula menjadi mangsa.

Menurutnya, pergolakan dalaman parti-parti PH dan berbagai isu semasa antaranya agenda Komunis, promosi ‘sugar daddy’ dan kerajaan juga gagal bertindak ke atas kebiadaban Dong Zong ketika ini semakin menggusarkan.

“Yakinlah bahawa ta’awun Muafakat Nasional sebagai suatu anugerah serta hendaklah dimanfaatkannya untuk menyebarluaskan dakwah Islam dan menjadikan Islam sebagai solusi kepada kehidupan masyarakat.

“Malah pelbagai program yang dijalankan bersama melalui Zon telah membuktikan PAS adalah sebuah gerakan Islam yang bekerja sepanjang masa, bukan hanya parti politik ketika pilihan raya,” tegas beliau.

Pesannya lagi, jentera bawahan di peringkat Cawangan sebenarnya adalah nadi utama sesebuah kerajaan yang memerintah, justeru pentingnya untuk bersiap sedia dan jangan mengulangi kegagalan PH hari ini.

Ustaz Salleh turut berpesan agar menjaga Cawangan masing-masing sepertimana menjaga kubu dalam peperangan dan jika ada sebarang permasalahan dalaman mestilah diselesaikan segera.

Beliau berkata demikian dalam satu pertemuan khas pimpinan harian PAS Kawasan Tambun bersama saf kepimpinan utama setiap Cawangan seluruh Kawasan Tambun sebagai persediaan Mesyuarat Agung Tahunan tahun 2020.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut Ketua PAS Zon Manjoi, Muhammed Kahar Mohd Soam dan Ketua PAS Zon Meru, Ustaz Zabidi Zainal Abidin serta Ketua PAS Zon Klebang, Ustaz Rosli Azizan dan Ketua PAS Zon Tanjung Rambutan, Ustaz Rusdi Saad serta Ketua PAS Zon Perpaduan, Eddy Nor Abdul Manan. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: