Rabu, 25 Disember 2019

Dong Zong patut ikut majoriti, ini cakap Melayu tak lepas

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

 

Pertubuhan rasis tentang jawi takut identiti Melayu diterapkan pada pelajar


BANGI – Punca sebenar pertubuhan radikal Cina, Dong Jiao Zong menentang habis-habisan usaha kerajaan memperkenalkan tulisan jawi di sekolah vernakular kerana mereka takut unsur identiti Melayu diterapkan kepada pelajar.

Pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah yakin pertubuhan rasis itu tidak mahu sebarang perkara termasuk pengenalan tulisan jawi mengganggu proses ‘pencinaan’ di sekolah vernakular.

“Bila jawi diperkenalkan bermakna akan masuk lagi unsur identiti Melayu dalam silibus. Mereka tak mahu perkara ini berlaku. 

“Mereka tak mahu belajar asal usul sejarah negara ini. Mereka tak mahu kaji asal usul Tanah Melayu. Mereka lebih perjuang hak kaum daripada negara,” katanya dalam rancangan Kerusi Panas yang disiarkan di TV Pertiwi, malam ini.

Beliau berkata, apa yang berlaku adalah kesilapan terbesar pertubuhan rasis berkenaan kerana sepatutnya sebagai minoriti, asal usul negara yang didiami perlulah difahami dan dipelajari dengan baik.

“Sepatutnya mana-mana minoriti di negara lain berasimilasi. Nak tak nak kita kena fahami majoriti. Tapi puak ni tak nak fahami Melayu. Ini mereka bercakap pun bahasa Melayu pun tak lepas. 

“Tak cuba perbaiki dari semasa ke semasa. Patutnya mereka kena faham orang Melayu, tak banyak pun, sedikit,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Malaysia sangat pelik kerana kerajaannya lebih ‘tunduk’ kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Walhal, pada hakikatnya, keputusan kerajaan mengikat, NGO tidak boleh mengikat, katanya.

“Kuasa bergantung kepada kerajaan. Setiap arahan kerajaan mesti dipatuhi, tetapi mengapa sekolah kerajaan yang tentukan adalah Dong Zong dan Jiao Zong. Hatta kemasukan guru Melayu di sekolah Cina, ditapis mereka. 

“Dia boleh bagi surat ke PPD minta tukar guru besar di SJK(C) Puchong kerana mereka tak suka guru besar dan guru besar berkenaan ditukar. Nampak tak betapa besarnya pengaruh Dong Jiao Zong ni. 

“Kita berada dalam situasi politik sebegini. Pembinaan negara dalam negara. Ini sangat berbahaya. Tidak boleh dibiarkan. Sebab itu saya minta, kerajaan bertindak,” katanya.

Justeru, beliau menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengharamkan pertubuhan ini kerana mereka sudah terkeluar daripada norma sebagai sebuah NGO.

“Haramkan pertubuhan ini. Pemimpin yang sokong, tarik kewarganegaraan. Kita nak bina negara ke kita nak bina bangsa? Sekarang komunis sedang bersarang di Kajang, saya minta dari dulu lagi pantau institusi pendidikan, teliti silibus mereka. Apa guru mereka ajar. Adakah proses pendidikan itu melahirkan orang orang seperti ini lagi. 

“Kita sudah tidak ada banyak masa, sepatutnya kita matang dah nak melahirkan anak bangsa. Sepatutnya dah lama ‘selesai’ dah dalam isu ini kerana sudah 60 tahun merdeka. Tapi kita masih tarik tali,” katanya.


Tiada ulasan: