Isnin, 30 Disember 2019

Saari berkerusi roda kerana sakit lutut

Mohd Zaini Samsu Hadi
MGF29122019_OTAI-REFORMIS-BACK-TO-SCHOOL04
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib berucap pada Program Back To School anjuran Otai Reformis di Dewan Masyarakat Taman Gombak, Jalan 2, Taman Greenwood, Batu Caves, Selangor. foto AFFAN FAUZI
 

GOMBAK – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib kini terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Perkara itu disebabkan beliau sedang dalam rawatan pemulihan selepas menjalani pembedahan lutut enam bulan lalu.

Katanya, doktor memasukkan skru pada bahagian tepi sebelah kanan lutut kaki kirinya menyebabkan beliau mengalami kesukaran untuk bergerak.

Bagaimanapun katanya, beliau boleh saja berjalan seperti biasa namun, pada masa-masa tertentu terpaksa menggunakan juga kerusi roda.

“Saya ni baru operation (bedah) sebab ada sakit lutut. Doktor masukkan satu benda macam skru di tepi kaki sebelah kiri saya ini.

“Ada masa-masa tertentu kalau sakitnya datang memang tak boleh bergeraklah, sebab tu saya kena guna kerusi roda,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui pada Program Back To School anjurannya di sini hari ini.

Saari berkata, beliau meminta agar orang ramai tidak menyalahtafsir keadaannya begitu bagi mengelak kekeliruan atau tanggapan beliau mengalami lumpuh.

“Jangan ada yang kata saya kena strok sudahlah,” selorohnya.

Katanya lagi, doktor yang merawatnya ada memberi jaminan beliau akan kembali pulih seperti biasa dalam tempoh enam bulan selepas pembedahan.

Namun katanya, sehingga hari ini keadaan kakinya masih belum lagi normal dan disebabkan itu beliau tetap menggunakan bantuan kerusi roda dan tongkat untuk bergerak. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: