Ahad, 29 Disember 2019

Dua rakyat Malaysia maut kemalangan bas di Mesir - Laporan

Agensi | Diterjemahkan oleh: Agensi
Dua rakyat Malaysia maut kemalangan bas di Mesir - Laporan
Mesir mempunyai sejarah kemalangan bas terburuk akibat beberapa faktor termasuk memandu laju dan keadaan jalan yang teruk.
 
 
DUA rakyat Malaysia dilaporkan antara enam yang terkorban dalam kemalangan membabitkan dua buah bas di sebatang lebuh raya berdekatan Laut Merah, pada Sabtu.

Menurut laporan akhbar tempatan al-Ahram, selain pelancong Malaysia, seorang lelaki warga India dan tiga warga Mesir turut disahkan maut.

Sementara itu, 24 lain yang cedera, termasuk beberapa yang parah, dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut, lapor media antarabangsa.

Difahamkan, kemalangan berlaku ketika kenderaan tersebut dalam perjalanan ke resort Ain Sokhna, yang terletak kira-kira 120km di timur Kahirah.

Ain Sokhna ialah pusat tarikan pelancong berhampiran pantai Suez.
 
Dalam perkembangan berasingan, sekurang-kurangnya 22 terkorban, kebanyakannya pekerja buruh, apabila sebuah bas mini bertembung dengan sebuah trak di sebatang lebuh raya di Pelabuhan Said di utara Mesir, pada Sabtu.

Memetik kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa kesihatan tempatan, media antarabangsa melaporkan, bas mini itu sedang membawa pekerja dari sebuah kilang pakaian di pelabuhan itu.

Pelabuhan Said terletak kira-kira 200 kilometer di utara Kahirah.

Kejadian berlaku di lebuh raya yang menghubungkan antara Pelabuhan Said dan Damietta. Pekerja terbabit adalah dari Damietta.

Lapan yang lain cedera, termasuk sebahagiannya parah.

Semua mangsa dibawa ke hospital dan rumah mayat berdekatan untuk tujuan rawatan dan pengecaman, kata kenyataan itu.

Mesir mempunyai sejarah kemalangan bas terburuk akibat beberapa faktor termasuk memandu laju, keadaan jalan yang teruk dan penguatkuasaan undang-undang lalu lintas yang lemah.
 
 

Tiada ulasan: