Khamis, 26 Disember 2019

KERAJAAN INI SEMAKIN JAUH DARIPADA HATI RAKYAT….




 PM Malaysia  ( Gambar hiasan ) 
 

Jika mahu disenarai satu persatu, baru dalam tempoh 19 bulan PH menjadi kerajaan, sebenarnya terlalu banyak perkara-perkara yang mengecewakan dan mengguris hati rakyat telah berlaku.

Harapan rakyat apabila mereka membuat keputusan menukar kerajaan dan menumbangkan BN, yang diminta hanyalah agar kehidupan selepas itu bertambah baik dengan kos sara hidup menurun, banyak peluang pekerjaan dan cara menambah pendapatan juga menjadi lebih banyak.

Malangnya semakin hari berlalu, harapan itu semakin kabur dan kelam dengan yang munculnya akhirnya hanya berita-berita sedih dan menyakitkan hati.

Janji Tun Mahathir Mohamad dengan pengalamannya selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri sebelum ini bahawa tempoh dua tahun untuknya menerajui negara sudah mencukupi untuk memulihkan ekonomi, tidak lebih sekadar janji bulan madu orang sedang bercinta.

Dalam tempoh 19 bulan menerajui kerajaan, Tun Mahathir ternyata gagal memberi yang lebih baik sebagaimana yang pernah dijanjikannya sebelum beroleh kuasa.

Ini berikutan begitu banyak aset negara dan syarikat strategik milik Khazanah yang dijual dan terlepas ke tangan pihak asing.

Sementara penjualan itu menimbun wang yang banyak, yang musykilnya hutang negara terus juga meningkat.

Ke mana dan untuk apa wang penjualan aset itu digunakan?

Apakah kerajaan tidak cukup hasil untuk membiayai urusan harian pentadbirannya?

Selain itu, pemberhentian kerja dan penamatan mereka yang bekerja kontrak dengan kerajaan pula kedengaran di mana-mana, termasuk ramai yang meluahkannya di media sosial.

Kenapakah kerajaan baru yang kononnya mendokong aspirasi membela rakyat, tiba-tiba lebih dulu memangsakan pekerja bawahan dan yang bergaji kecil?

Kalau benar kerajaan tidak cukup wang, kenapa pemberhentian itu berlaku di kala majoriti menteri sibuk bercuti di luar negara dengan pembiayaan penuh wang cukai rakyat?

Terbaru ini berlaku pula penamatan elaun kritikal untuk doktor, jururawat, jurutera dan profesional lainnya yang menyertai perkhidmatan awam mulai tahun depan.

Tindakan JPA ini merupakan satu lagi berita sedih untuk rakyat seolah-olah kerajaan PH pimpinan Tun Mahathir ini sudah hilang upaya dan tidak mampu lagi memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Menjelang tahun depan, mungkin banyak lagi berita-berita sedih seperti itu menjadi tatapan kita semua yang pada hakikatnya menjadikan kerajaan PH semakin jauh daripada hati rakyat.

Itu belum termasuk lagi rancangan kerajaan mahu mengurangkan saiz perkhidmatan awam dan semua ini bukan saja menyebabkan rakyat biasa, bahkan pendokong PH sendiri turut rasa kecewa.

Mereka kini jadi keliru, jika kerajaan terdahulu bermasalah dan tidak cekap, mengapa masih banyak perkara untuk kepentingan rakyat masih dapat diberikan?

Yang ternampak menonjol di mata rakyat hanyalah keghairahan Tun Mahathir berpolitik dengan mencatur sana mencatur sini dan memecahkan kelompok memecahkan sini untuk menampakkan dirinya terus unggul berkuasa dengan seolah-olah sudah lupa kepada janji peralihan kuasa serta dirinya bukannya semakin muda.

Sampai bilakah rakyat terus kecewa dengan PH?

Apakah harapan rakyat rakyat terhadap PH sebelum tibanya detik PRU15 hanya pada Anwar Ibrahim yang sepatutnya mengambil alih kuasa tahun depan?

Tiada ulasan: