Ketua pembangkang yang merupakan ADUN Air Tawar, Datuk Rizam Ismail ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan itu menuduh kerajaan Persekutuan flip flop gagal menunaikan janji manifestonya.
Menjawab pertanyaan itu, Rizam menyatakan, kerajaan PH ketika kempen PRU14 berjanji akan memansuhkan PTPTN dan tol, tetapi selepas satu setengah tahun, tidak ada satu pun ditunaikan.
Tidak puas hati dengan jawapan itu, Mohd Sany sekali lagi bangun, tanpa meminta kebenaran Speaker DUN, Ng Suee Lim, menyatakan memansuhkan PTPTN dan tol bukan janji PH, sebaliknya dari Pas.
ADUN Sijangkang dari Pas, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi kemudian bangun menafikan dakwaan Mohd Sany dengan menyatakan, ada pemimpin dari PH berjanji kepada rakyat, kononnya “hari ini PH menang, esok PTPTN dihapuskan”.
Beliau turut menyindir Mohd Sany bahawa pemimpin PH terbabit juga menyatakan, kos untuk menghapuskan PTPTN tidak tinggi, iaitu RM6 bilion sahaja.
Keadaan tidak terkawal apabila ADUN Sungai Burong dari BN, Datuk Mohd Shamsudin Lias menegur sikap Taman Templer tidak mematuhi peraturan dewan, iaitu tidak meminta kebenaran dari Speaker untuk bantuk mencelah.
“Beginikah sikap seorang Yang Berhormat? Bangun ‘menyerang’ tidak meminta kebenaran Speaker,” kata Shamsuddin.
Tanpa menghiraukan Sungai Burong, Mohd Sany terus mengeluarkan kata-kata mempertahankan kerajaan PH dan menyalahkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Katanya, kalau tidak kerana Najib menyalahgunakan wang 1MDB, kerajaan PH tidak perlu menanggung beban hutang sehingga RM50 bilion untuk menjelaskan hutang berkenaan.
Keadaan bertambah gamat apabila ADUN Kuang dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBM),
Sallehudin Amiruddin bangun mencabar pihak pembangkang membuktikan PH pernah berjanji akan menurunkan harga minyak jika menang.
“PH tidak pernah berjanji akan menurunkan harga minyak kalau menang. Kita hanya janji akan menstabilkan harga,” katanya.
Semua ADUN yang terlibat dalam ‘perang’ mulut itu bangun sesuka hati tanpa meminta kebenaran Speaker untuk mendapatkan laluan dari pembahas sebenarnya, Rizam.
ADUN Sungai Panjang dari BN, Datuk Mohd Imran Tamrin cuba menarik perhatian Speaker bahawa tindakan ADUN kerajaan langsung tidak mematuhi peraturan, menyebabkan Ng Suee Lim meminta semua duduk.
“Yang Berhormat semua duduk. Sebenarnya sesi perbahasan ini giliran Ketua Pembangkang. Tapi nampaknya Ketua Pembangkang tidak ada kesempatan langsung untuk meneruskan perbahasannya.
“Saya minta semua Yang Berhormat duduk. Sungai Burong pun duduk. Saya tahu, saya tahu..ini yang saya hendak beritahu…sila duduk semua. Duduk,” arah Ng Suee Lim yang ketika itu Mohd Shamsudin cuba memintanya bertegas dengan sikap ADUN kerajaan.
Selepas keadaan reda, Rizam kemudian meneruskan perbahasannya dan menyifatkan Belanjawan 2020 Selangor sebagai tidak mencerminkan kebajikan rakyat. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan