Isnin, 25 November 2019

Penyokong Anwar perlu satukan PKR, bukannya desak Dr M berundur




Penting sangatkah agenda peralihan kuasa Pakatan Harapan (PH) sehinggakan hampir setiap hari ada saja golongan pro-Anwar Ibrahim yang menggesa Dr Mahathir Mohamad mengundurkan diri secepat mungkin sebagai perdana menteri?

Contohnya di Konvensyen Reformis 2.0 semalam, suara penyokong Anwar sekali lagi bergema mendesak Mahathir berundur pada 9 Mei 2020, 2 tahun selepas PH memenangi Putrajaya.

Golongan pro-Anwar perlu berhati-hati kerana dipercayai gelagat mereka sudah mencapai tahap memualkan. Anwar sendiri berkata, beliau akan menunggu sehingga Mahathir berpuas hati dengan keadaan negara sebelum mengambil alih jawatan perdana menteri.

Mengapa golongan pro-Anwar masih tidak akur dengan pendirian Anwar ini, hatta mereka tidak menyukai Mahathir?

Ataupun ini hanya permainan “good cop bad cop” di mana Anwar cuba membentuk persepsi awam beliau boleh tunggu, tetapi penyokongnya memaparkan sikap sebenar tidak sabar menunggu Anwar menjadi perdana menteri?

Apa yang dapat diperhatikan ialah gesaan untuk Mahathir berundur secepat mungkin semakin menjadi-jadi ekoran kekalahan teruk PH di Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai pada 16 Nov lalu.
Ramai ahli politik PH membuat tafsiran sendiri terhadap kekalahan teruk gabungan itu sebanyak 15,086 undi majoriti di Tanjung Piai di tangan MCA.

Ada ahli politik PH berkata, mesej PRK Tanjung Piai diterima. Ada yang berkata, kegagalan menunaikan janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 menjadi punca.

Ada yang tiba-tiba tersedar mereka terlebih janji ketika PRU14, ada pula yang berpendapat kekalahan teruk itu membuktikan kerajaan adil kepada semua kaum kerana undi daripada semua kaum kepada PH merosot.

Apa pula mesej yang diterima golongan pro-Anwar? Tidak lain tidak bukan, mereka menafsirkan kekalahan teruk PH itu sebagai isyarat untuk Anwar menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri secepat mungkin.

Persoalannya, betulkah rakyat Tanjung Piai menghantar isyarat ini ataupun mereka menghantar isyarat mahu PH ditumbangkan hatta siapa menjadi perdana menteri?

Jika PRK Tanjung Piai diadakan semula dengan Anwar sebagai perdana menteri, bolehkah PH menebus majoriti 15,086 undi yang diperolehi MCA? Kalau ditanya soalan ini kepada penyokong pro-Anwar, jawapannya sudah tentu ya, walaupun ramai yang akan tersenyum sinis.

Golongan pro-Anwar perlu sedar pergaduhan sesama parti komponen PH juga antara penyebab terbesar rakyat menolak PH di Tanjung Piai.

Dalam PKR, pergaduhan sesama sendiri ini lagi teruk di mana presiden dan timbalan presiden parti berperang secara terang-terangan.

Oleh itu, pada waktu ini, golongan pro-Anwar sepatutnya membantu Anwar menyatukan PKR terlebih dahulu.

Bayangkan persepsi negatif ke atas Anwar sekiranya PKR berpecah ketika beliau menjadi presiden.

Sekiranya PKR berpecah, akan timbul persoalan di minda rakyat – jika beliau gagal mentadbir parti dengan baik, apakah jaminan beliau mampu mentadbir negara dengan baik?

Sebelum mendesak Mahathir berundur, desaklah Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali untuk berundur atau berubah sikap dahulu. Fikirkan cara untuk Anwar mendapat sokongan semua ahli Parlimen PKR menjadi perdana menteri terlebih dahulu.

Jika ahli Parlimen PKR sendiri tidak sebulat suara mahukan Anwar menjadi perdana menteri, mustahil Anwar akan mendapat mandat penuh daripada parti lain, walaupun Mahathir sudi menyerahkan tugas itu kepadanya.

Bahkan, mungkin ada orang lain yang boleh memintas beliau kerana mendapat sokongan daripada lebih 112 ahli Parlimen.

Ketika ini, rata-rata rakyat masih marah kerana rasa tertipu oleh PH. Oleh itu, rakyat tidak kisah ataupun hilang tidur walaupun tiada peralihan kuasa.

Jika golongan pro-Anwar tidak memahami sentimen ini, maka peluang Anwar menjadi perdana menteri sebelum dan selepas PRU15 akan menjadi semakin malap.

Tiada ulasan: