Sabtu, 30 November 2019

Chin Peng: Lucut kerakyatan pembawa abu mayat

Oleh Nurul Atikah Mohd Rosli

 

Kerajaan harus tegas, jaga hati pelbagai pihak

BANGI – Pihak yang didapati bersalah membawa abu mayat Chin Peng harus dilucut kerakyatannya.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tumpat, Ramle Ismail berkata, hukuman berkenaan adalah setimpal dengan perbuatan yang telah mereka lakukan.

“Kita berasa amat kesal dengan apa yang terjadi, tambahan lagi pada tarikh 16 September itu adalah hari yang penuh bermakna bagi negara kita.

“Pada pandangan saya, hukuman lucut kewarganegaraan adalah selayaknya terhadap mereka yang membawa dan menabur abu mayat tersebut di tempat yang telah ditentukan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, rakyat digemparkan dengan laporan berita abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dibawa masuk ke negara ini pada dua bulan lalu, selepas enam tahun kematiannya.

Abu mayatnya, dilaporkan tiba di Ipoh pada 16 September lalu dan ditaburkan di laut berhampiran Lumut, Perak serta sebahagian lagi di kawasan hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.

Mengulas lanjut, Ramle berkata, kerajaan perlu bertindak tegas dalam isu berkenaan supaya dapat meredakan kemarahan ramai pihak.

“Kerajaan harus bertindak tegas dalam hal ini supaya dapat meredakan sedikit hati mereka yang terguris akibat peristiwa ini.

“Terutama kepada bekas pasukan keselamatan, kaum keluarga yang terkorban akibat perbuatan ganas anggota komunis yang diketuai Ching Peng,” katanya.


Tiada ulasan: